TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengarah MPAJ didakwa terima rasuah RM30,000, mengaku tidak bersalah

By
|
Kongsi
image

IPOH 2 Julai – Seorang pengarah jabatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Selangor, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM30,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Alhairi Mohamed Yusuf, 47, yang merupakan Pengarah Gred J52 di Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Alhairi didakwa menerima wang tunai RM20,000 ke dalam akaun Maybank miliknya tanpa sebarang balasan daripada Nazman Puteh, 64, yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, beliau turut didakwa menerima wang tunai RM10,000 daripada Nazman Puteh melalui perantaraan dua individu lain iaitu Song Teik Sun, 61, dan Wong Huey Peng, 37, yang juga mempunyai kaitan dengan tugas-tugas rasminya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Taiping, dalam daerah Larut, Matang dan Selama, pada 2 November 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri dan Muaz Ahmad Khairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Nizam Abd Razak.

Asmaa' menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa serta melapor diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada hari Sabtu pertama setiap bulan.

Khairul Nizam memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal dan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan dua syarat tambahan seperti dipersetujui, selain menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan dengan kakaknya hadir sebagai penjamin. – Media Telus

+ - reset