Berita Berita
183 pelajar dikesan terlibat samseng jalanan, lumba haram di ibu kota sejak tiga tahun lalu

KUALA LUMPUR 2 Julai – Gejala sosial dalam kalangan remaja di ibu negara terus membimbangkan apabila seramai 183 pelajar dikenal pasti terlibat dalam kegiatan samseng jalanan dan lumba haram sejak tiga tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kesemua pelajar itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.
“Daripada jumlah itu, 135 adalah pelajar sekolah menengah manakala 48 lagi terdiri daripada penuntut kolej dan institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail.
Mohamed Usuf berkata, walaupun statistik menunjukkan penurunan dari segi kes pelajar terlibat penyalahgunaan dadah, pemantauan tetap perlu dipertingkatkan.
“Pada 2023, seramai 84 pelajar direkodkan terbabit dengan kes dadah, namun sehingga pertengahan tahun ini, hanya 26 pelajar dikenal pasti. Antara jenis dadah yang dikesan termasuk amphetamine, methamphetamine, ganja, syabu dan eramin 5,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Kuala Lumpur turut mencatatkan penurunan tangkapan pelajar dalam kes sosial dan tidak bermoral sejak tahun lalu.
“Tahun 2023 mencatatkan 17 tangkapan, 2024 pula 16 tangkapan, dan pada 2025 hanya empat tangkapan direkodkan. Walaupun angka ini menunjukkan trend menurun, ia masih memerlukan intervensi berterusan,” ujarnya.
Jelas beliau, usaha membendung gejala sosial tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada bahu pihak sekolah dan polis.
“Pendidikan bermula dari rumah. Tanpa peranan ibu bapa dan penjaga, semua inisiatif pencegahan sukar untuk berjaya. Program seperti seminar ini penting untuk membentuk sahsiah pelajar sejak awal,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata dua pegawai perhubungan sekolah telah ditempatkan di setiap 209 sekolah di Kuala Lumpur bagi membantu menangani isu disiplin.
Sementara itu, Megat Affandi menegaskan kerjasama berterusan antara polis dan sekolah penting bagi mencegah salah laku pelajar.
“Setiap sekolah mempunyai pegawai perhubungan sekolah (PPS) untuk membantu pantau dan ambil tindakan terhadap sebarang isu disiplin. Kita mahu ia ditangani dari awal,” katanya.
Seminar hari ini disertai lebih 300 pelajar sekolah menengah dari seluruh ibu kota dan dianjurkan bersama oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Kuala Lumpur serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – Media Telus
Berita berkaitan
July 3, 2025, 9:53 am
Harga runcit RON97, diesel di Semenanjung Malaysia turun tiga sen
July 3, 2025, 9:43 am
Empat bilik guru SMK Dang Anum musnah dalam kebakaran awal pagi
July 3, 2025, 8:02 am
Dua maut, 16 cedera nahas bas persiaran dan dua lori di Ayer Hitam
July 2, 2025, 9:12 pm
HTA cipta sejarah, berjaya pisahkan bayi kembar siam bersambung abdomen, pelvis
July 2, 2025, 8:01 pm
183 pelajar dikenal pasti jadi samseng jalanan, terbabit lumba haram di KL
July 2, 2025, 7:14 pm
KPKT sedia disiasat SPRM, tolak unsur rasuah dalam isu MyKiosk
July 2, 2025, 6:15 pm
Majlis Peguam bimbang kelewatan lantikan Ketua Hakim Negara baharu
July 2, 2025, 6:08 pm