Berita Berita
Kerajaan haramkan import 'dummy buckle' bermula 31 Disember

KUALA LUMPUR 2 Julai – Kerajaan akan menguatkuasakan larangan sepenuhnya ke atas import dummy seatbelt buckle atau peranti pemintas amaran tali pinggang keledar bermula 31 Disember ini.
Larangan tersebut dinyatakan dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 2) 2025 dan meliputi semua negara tanpa pengecualian.
Peranti yang diharamkan termasuk pemintas amaran tali pinggang keledar, clip extender dan aksesori lain yang direka untuk menipu sistem keselamatan dengan dimasukkan ke dalam slot tali pinggang keledar tanpa memakai tali pinggang sebenar.
Menurut Kementerian Pengangkutan, penggunaan peranti ini membahayakan keselamatan kerana membisukan sistem amaran, sekaligus menyebabkan pemandu dan penumpang tidak memakai tali pinggang keledar — antara faktor utama yang menyumbang kepada kematian dalam kemalangan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini memberi amaran bahawa penggunaan dummy buckle adalah satu kesalahan di bawah peraturan keselamatan jalan raya dan menyumbang kepada tabiat pemanduan yang berisiko.
“Larangan ini adalah langkah tegas bagi memastikan keselamatan jalan raya tidak dikompromi oleh penggunaan aksesori tidak sah yang menggalakkan kelalaian dalam pematuhan undang-undang,” katanya.
Pada Februari lalu, kementerian itu memaklumkan sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk menghentikan penjualan dan edaran produk tersebut di pasaran tempatan.
Sementara itu, semasa Operasi Khas Tahun Baharu Cina, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf mendedahkan bahawa kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar merupakan pelanggaran tertinggi direkodkan, dengan 195 saman dikeluarkan. Lebih 30 peratus daripada kes itu melibatkan penggunaan dummy buckle. – Media Telus
Berita berkaitan
July 3, 2025, 9:53 am
Harga runcit RON97, diesel di Semenanjung Malaysia turun tiga sen
July 3, 2025, 9:43 am
Empat bilik guru SMK Dang Anum musnah dalam kebakaran awal pagi
July 3, 2025, 8:02 am
Dua maut, 16 cedera nahas bas persiaran dan dua lori di Ayer Hitam
July 2, 2025, 9:12 pm
HTA cipta sejarah, berjaya pisahkan bayi kembar siam bersambung abdomen, pelvis
July 2, 2025, 8:01 pm
183 pelajar dikenal pasti jadi samseng jalanan, terbabit lumba haram di KL
July 2, 2025, 7:14 pm
KPKT sedia disiasat SPRM, tolak unsur rasuah dalam isu MyKiosk
July 2, 2025, 6:15 pm
Majlis Peguam bimbang kelewatan lantikan Ketua Hakim Negara baharu
July 2, 2025, 6:08 pm