Berita Berita
Surau Madani R&R Seremban arah selatan pertama diberi kebenaran solat Jumaat di lebuh raya

SEREMBAN 3 Julai – Surau Madani di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) mencipta sejarah apabila menjadi surau pertama di lebuh raya negara ini yang diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat.
Pengisytiharan rasmi itu disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Profesor Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dalam satu majlis khas yang diadakan pada Rabu.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi berkata, inisiatif tersebut hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS.
“Penyediaan kemudahan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya serta menyediakan ruang ibadah yang selesa.
“Surau ini mampu memuatkan sehingga 150 jemaah lelaki pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan kemudahan mesra pengguna, termasuk untuk warga emas dan golongan berkeperluan khas,” katanya.
Zakaria turut memaklumkan bahawa surau berkenaan telah dinaik taraf dengan pemasangan mimbar, mihrab serta sistem pembesar suara sebagai persediaan untuk solat Jumaat.
Sebagai langkah pengurusan, sebuah Jawatankuasa Kariah Penaja turut ditubuhkan yang terdiri daripada 93 pemastautin tetap di kawasan R&R berkenaan.
“PLUS berharap kemudahan ini dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna lebuh raya, tetapi juga komuniti setempat seperti penduduk Labu dan Seremban, serta para pekerja di kawasan R&R,” katanya.
Sementara itu, Faudzinaim berkata, keputusan membenarkan solat Jumaat di surau tersebut telah diluluskan sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus mengikut Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.
“Kebenaran ini berkuat kuasa mulai 4 Julai dan bersifat sementara sehingga satu surat pembatalan dikeluarkan kelak.
“Solat Jumaat hendaklah didirikan secara berterusan. Ia tidak disunatkan dengan solat Tahiyyat al-Masjid atau beriktikaf di surau ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa jemaah yang berada di kawasan R&R dan mencukupi 40 orang atau lebih, wajib menunaikan solat Jumaat di surau berkenaan.
Tambahnya, jawatankuasa surau tertakluk kepada arahan dan pemantauan pihak berkuasa agama negeri dari semasa ke semasa. – Media Telus
Berita berkaitan
July 3, 2025, 10:30 am
Malaysia-Itali eratkan hubungan dagang, Anwar terajui rundingan
July 3, 2025, 9:53 am
Harga runcit RON97, diesel di Semenanjung Malaysia turun tiga sen
July 3, 2025, 9:43 am
Empat bilik guru SMK Dang Anum musnah dalam kebakaran awal pagi
July 3, 2025, 8:02 am
Dua maut, 16 cedera nahas bas persiaran dan dua lori di Ayer Hitam
July 2, 2025, 9:12 pm
HTA cipta sejarah, berjaya pisahkan bayi kembar siam bersambung abdomen, pelvis
July 2, 2025, 8:01 pm
183 pelajar dikenal pasti jadi samseng jalanan, terbabit lumba haram di KL
July 2, 2025, 7:14 pm
KPKT sedia disiasat SPRM, tolak unsur rasuah dalam isu MyKiosk
July 2, 2025, 6:15 pm