TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Selepas 22 tahun, PERKESO rombak, tambahbaik penilaian, penaksiran hilang upaya

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Okt – Tujuh rombakan dan penambahbaikkan antara inisatif yang akan dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkaitan pengurusan hilang upaya termasuk membabitkan fungsi Jemaah Doktor (JD), Jemaah Doktor Rayuan (JDR) dan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata rombakan pertama pada 2002 menyaksikan penerbitan dokumen Garis Panduan Penilaian Kecederaan Traumatik atau Penyakit Khidmat dan Keilatan yang dijadikan pegangan dalam proses penilaian serta penaksiran hilang upaya di PERKESO.

"Selain itu, PERKESO juga terus memperkukuh mekanisme semak dan imbang dengan mewujudkan Jawatankuasa Penilaian Keputusan Jemaah Doktor supaya setiap kata putus daripada hasil penaksiran bebas daripada sebarang unsur manipulasi serta penipuan.

"PERKESO juga merancang menerapkan elemen automasi seperti kecerdasan buatan (Al) bagi meningkatkan keberkesanan sistem penaksiran keilatan serta faedah hilang upaya selaras dengan perkembangan teknologi revolusi perindustrian 5.0 (IR 5.0)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara PERKESO di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Mohammed Azman Aziz berkata, mengakui terdapat perbezaan prosedur tuntutan antara negeri dan sehubungan itu, pihaknya melaksanakan 14 elemen penambahbaikan yang dikemukakan Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM yang akan dibincangkan PERKESO.

"Ia berikutan sebahagian daripada elemen itu dianggap sebagai 'low-lying fruits' yang dapat dilaksanakan dengan segera.

"Kami komited untuk memberi ulasan mengikut garis masa yang diperuntukkan oleh SPRM dan akan melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, SPRM berpuas hati dengan usaha PERKESO memperkasa tatakelola dan pencegahan rasuah menerusi Pelan Antirasuah Organisasi PERKESO dan pensijilan MS ISO 37001: Anti-Bribery Management System (ABMS).

Beliau berkata, pihaknya mengiktiraf sikap dan tindakan PERKESO yang prihatin serta sentiasa bekerjasama dalam usaha pengukuhan tadbir urus, pemantapan integriti dan pencegahan rasuah.

"Ini menunjukkan pengurusan tertinggi PERKESO memainkan peranan dengan meletakkan integriti pada landasan sepatutnya supaya hala tuju organisasi dalam pengukuhan integriti dan pencegahan rasuah adalah jelas," katanya.

la rentetan kejayaan Operasi Tunjang yang berjaya menahan 37 individu membabitkan19 pemohon, sembilan ejen, tiga 'runner' serta enam doktor perubatan yang dipercayai terbabit dalam sindiket tuntutan palsu kepada PERKESO. - Media Telus

+ - reset