TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Semua pelajar MRSM terlibat kes buli digantung - Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

 


TAPAH, 7 April – Pelajar-pelajar yang terlibat dalam insiden buli di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), yang tular menerusi video di media sosial hari ini, akan dikenakan tindakan penggantungan sementara bagi memberi ruang kepada siasatan dalaman dijalankan tanpa gangguan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penggantungan itu melibatkan semua yang terlibat, sama ada bersalah atau tidak, sementara menunggu hasil siasatan oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM).

“Saya telah minta laporan siasatan dikemukakan kepada MARA pusat untuk tindakan susulan. Kita tidak mahu proses siasatan terganggu, dan sekiranya terbukti berlaku kesalahan, tiada kompromi – tindakan tegas termasuk penyingkiran boleh diambil,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning di Temoh, hari ini.

Asyraf turut menegaskan bahawa pihak MARA tidak akan menghukum mana-mana pelajar tanpa siasatan menyeluruh, namun menegaskan bahawa budaya buli tidak akan diterima sama sekali di institusi pendidikan di bawah seliaan MARA.

“Budaya buli, sama ada fizikal atau mental, tidak boleh wujud dalam MRSM. MRSM diwujudkan bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi juga pemimpin masa depan yang berakhlak dan bersahsiah tinggi.

“Tiada guna akademik cemerlang, tetapi adab dan akhlak tidak mencerminkan nilai sebenar. Sebab itu saya selalu tekankan – ‘you touch, you go’,” ujarnya tegas.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi satu minit 32 saat yang memaparkan sekumpulan pelajar lelaki bertindak membuli seorang pelajar lain yang tertiarap di atas katil. Mangsa dilihat dihempap oleh beberapa pelajar serta disebat menggunakan tali pinggang di bahagian punggung.

Insiden itu menimbulkan kemarahan dan kebimbangan masyarakat, terutama dalam kalangan ibu bapa, mengenai keselamatan dan persekitaran pembelajaran di sekolah-sekolah berasrama penuh.

 

+ - reset