Berita Politik
KJ, Shahril lihat Nurul Izzah ada potensi menang kerusi Timbalan Presiden PKR

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat perhatian dua bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan, yang berpandangan Nurul Izzah Anwar kini muncul sebagai calon utama dalam perebutan kerusi nombor dua parti itu.
Menerusi episod terbaru podcast ‘Keluar Sekejap’, kedua-duanya melihat wujud perubahan suasana dalam PKR yang menunjukkan sokongan semakin mengarah kepada Nurul Izzah, meskipun beliau baru sahaja kembali aktif dalam arena politik nasional.
Shahril, bekas Ketua Penerangan UMNO, berkata kehadiran mengejut Nurul Izzah telah mengubah jangkaan awal bahawa kerusi Timbalan Presiden serta Presiden tidak akan ditandingi dalam pemilihan parti sesi ini.
"Dalam tempoh seminggu ini, tidak dapat dinafikan semakin jelas kita dapat lihat bahawa ramai menyokong beliau," katanya.
Mengulas mengenai Datuk Seri Rafizi Ramli, penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Shahril menyifatkan gaya kempen Rafizi sebagai unik dan inovatif, khususnya apabila secara sinis menyeru ahli parti mengundi Nurul Izzah – kenyataan yang kemudiannya diakui sendiri oleh Rafizi sebagai satu bentuk sindiran.
Beliau juga menyentuh kenyataan Rafizi yang menyatakan akan meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya tewas dalam pemilihan, menyifatkannya sebagai langkah strategik politik.
"Saya rasa itu helah politik. Beliau kata akan letak jawatan jika kalah, tetapi pada masa sama menyindir bahawa ada individu – mungkin Nurul Izzah – yang kalah dalam pilihan raya umum tetapi tetap mahu bertanding," katanya.
Sementara itu, Khairy berpendapat kekalahan Nurul Izzah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar dijadikan alasan untuk mempertikaikan pencalonannya kali ini.
"Memang ada yang pertikaikan, kerusi pun tak menang, kenapa mahu bertanding... Tapi kita kena lihat kepada konteks luas, ketika itu berlaku gelombang besar di utara.
"Tokoh seperti Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (daripada UMNO) pun gagal pertahan (Parlimen) Kepala Batas.
"Ada masa, pengundi pilih calon. Ada masa mereka tidak ambil kisah siapa yang bertanding. Itulah hakikat politik," katanya.
Kedua-dua mereka turut sepakat bahawa keputusan pemilihan kali ini membawa implikasi politik besar kepada PKR, walaupun impaknya terhadap persepsi awam mungkin berkurangan menjelang pilihan raya akan datang.
"Kalau ditakdirkan Rafizi menang, beliau akan bina naratif baharu bahawa tiada gerakan tolak (Presiden PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dan jika ditakdirkan kalau Nurul Izzah menang, skrip sudah tersedia (iaitu) dia menang atas kapasiti sendiri, bukan dilantik dan beliau akan kata ahli yang pilihnya," kata Khairy.
Mengulas gaya kempen kedua-dua calon, Khairy menyorot pendekatan Rafizi yang menggunakan analisis data dan graf, terutama untuk menunjukkan trend penurunan sokongan pengundi Melayu, Cina dan India terhadap PKR – satu pendekatan yang menurutnya bertujuan menunjukkan keupayaan Rafizi menangani cabaran masa depan parti.
Sebaliknya, katanya, Nurul Izzah dilihat lebih menumpukan kepada agenda penyatuan dalaman parti dan semangat kesepakatan menghadapi pilihan raya akan datang.
"Harus diakui bahawa Nurul Izzah tidak menjadikan Rafizi sebagai tumpuan. Beliau lebih menumpukan kepada agenda kesepakatan dan penyatuan dalam PKR dan bagaimana untuk meningkatkan semangat pasukan dalam pilihan raya akan datang," kata Khairy.
Pemilihan PKR kali ini dijangka berlangsung sengit apabila dua tokoh utama – Rafizi dan Nurul Izzah – bertembung dalam perebutan jawatan kedua tertinggi parti.
Berita berkaitan
May 24, 2025, 5:04 pm
Menang Naib Presiden PKR, Ramanan tekad perjuang semangat reformasi
May 24, 2025, 10:31 am
Sibuk galas tanggungjawab PM, Anwar mohon maaf kurang fokus pengukuhan parti
May 23, 2025, 10:29 pm
Nurul Izzah sah Timbalan Presiden PKR, tewaskan Rafizi dengan beza undi hampir 6,000
May 23, 2025, 9:40 pm
Tidak Rasmi: Nurul Izzah raih sokongan lebih kukuh, jauh tinggalkan Rafizi
May 23, 2025, 5:18 pm
Saya tak pernah draf surat letak jawatan - Rafizi
May 23, 2025, 4:18 pm
BN tidak hadir kongres AMK, Adam Adli sahkan tiada maklum balas jemputan
May 23, 2025, 4:05 pm
Anwar terbuka bincang syor mansuh kuasa presiden lulus pertandingan ahli baharu
May 23, 2025, 10:01 am
BN mesti tepis persepsi negatif dalam tempoh tiga jam - Ahmad Zahid
May 23, 2025, 9:03 am