Berita Politik
BN mesti tepis persepsi negatif dalam tempoh tiga jam - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR 23 Mei - Barisan Nasional (BN) perlu bertindak pantas menjawab sebarang isu tular atau persepsi negatif yang tersebar di media sosial dalam tempoh tiga jam bagi mengelakkan kerosakan imej parti, tegas Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, kelewatan BN sebelum ini dalam menangani persepsi awam menjadi antara faktor utama kekalahan gabungan itu dalam dua pilihan raya umum terakhir.
“Kita kalah pada 2018, apatah lagi pada 2022 kerana pada hemat saya, persepsi yang dilemparkan kepada kita terlalu berat dan tidak ditangani segera. Kita jawab selepas tiga hari, kadang-kadang selepas 30 hari. Ini menyebabkan persepsi itu melekat dalam minda rakyat walaupun adakalanya tidak benar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama program Better Nation BN Forum edisi keempat bertajuk “Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura, Australia” yang berlangsung di ibu negara malam tadi.
Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, menekankan bahawa BN memerlukan jentera politik yang moden, dinamik dan berasaskan data, di samping mewujudkan komunikasi dua hala yang efektif dengan rakyat.
Beliau turut menegaskan pentingnya BN membina politik harapan (politics of hope) dan meninggalkan pendekatan konvensional yang tidak lagi relevan dalam landskap politik hari ini.
“Politik intelektual mesti diwujudkan kerana rakyat semakin celik dan mahukan politik yang berisi. Kunci kejayaan parti ialah memulihkan kepercayaan rakyat, bukan sekadar menambah undi,” ujarnya.
Ahmad Zahid turut menyeru agar BN meneliti strategi parti pemerintah di negara seperti Kanada, Singapura dan Australia yang berjaya mengekalkan kuasa meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Mereka menang dengan pendekatan yang berbeza. Tidak lagi konservatif, mereka bergantung kepada media sosial sebagai mod komunikasi utama,” tambah beliau.
Dalam ucapannya, beliau turut menggesa BN membina naratif baharu yang menyentuh isu-isu utama rakyat seperti kenaikan harga barang, perumahan, peluang pekerjaan dan masa depan anak muda.
“Keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat bukan sekadar retorik, ia mesti diterjemahkan dalam bentuk pelan tindakan lima tahun akan datang,” tegas beliau.
Forum tersebut menghimpunkan pemimpin, penganalisis dan ahli akademik untuk membincangkan strategi politik kontemporari dalam usaha memperkukuh posisi BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). — Media Telus
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm