TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

32,000 perwakilan PKR pilih kepimpinan baharu, Anwar dan Wan Azizah Wan Azizah hadir undi secara fizikal

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU, 23 Mei – Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parti dengan mengundi secara fizikal dalam Pemilihan Kepimpinan Pusat PKR 2024/2025 di Berjaya Waterfront Hotel, di sini hari ini.

Anwar tiba di lokasi pengundian sekitar jam 12.07 tengah hari, diiringi oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang turut menunaikan tanggungjawab mengundi.

Turut kelihatan di pusat pengundian tersebut ialah Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil; dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Selesai mengundi, Anwar meluangkan masa beramah mesra dengan para perwakilan serta petugas di lokasi pengundian yang juga menjadi tuan rumah kepada Kongres Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2024/2025.

Pemilihan peringkat pusat hari ini melibatkan pengundian bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sebanyak 32,030 perwakilan layak mengundi, dengan 22,936 melakukannya secara dalam talian dan 9,094 secara fizikal.

Selain Berjaya Waterfront Hotel, lokasi pengundian fizikal lain termasuk Kongres Wanita PKR di Pusat Konvensyen Danga Bay.

Di Sabah dan Sarawak, pengundian dijalankan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), Penampang dan Pusat Konvensyen Penview, Kuching.

Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 251 calon bertanding, dengan 104 bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.

Jawatan Presiden tidak dipertandingkan dan kekal disandang Anwar.

Jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bagi jawatan Naib Presiden, 12 calon bertanding termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Muhammad Kamil Abdul Munim, Timbalan Ketua AMK dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, menang tanpa bertanding sebagai Ketua AMK. Jawatan Ketua Wanita PKR pula menyaksikan pertembungan antara penyandang yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dengan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Dr Zaliha memaklumkan keputusan pemilihan dijangka diketahui selewat-lewatnya 2.30 petang esok, dengan kemungkinan diumumkan seawal malam ini.

Pada jam 9.25 malam ini, Anwar dijadualkan merasmikan Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru yang akan dihadiri oleh barisan kepimpinan parti dan para perwakilan. 

+ - reset