Berita Politik
Menang Naib Presiden PKR, Ramanan tekad perjuang semangat reformasi

KUALA LUMPUR 24 Mei - Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan bertekad untuk terus memperjuangkan semangat reformasi selepas diumumkan sebagai salah seorang daripada empat Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu dalam pemilihan parti semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merupakan satu-satunya wajah baharu dalam kalangan empat pemenang jawatan tersebut, menggantikan penyandang terdahulu.
Tiga lagi pemenang adalah penyandang jawatan: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Keputusan pemilihan menyaksikan Aminuddin mendahului dengan 7,955 undi, diikuti Ramanan dengan 5,895 undi, Amiruddin (5,889 undi), dan Lih Kang (5,757 undi).
Ramanan berkata kemenangan ini adalah titik permulaan bagi memperkukuh suara rakyat dan meneruskan agenda reformasi demi masa depan negara.
"Ini bukan sekadar satu kemenangan peribadi, tetapi satu amanah besar yang akan saya pikul dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan dedikasi. Keadilan bukan sekadar parti, ia adalah rumah perjuangan kita bersama. Parti kita, rumah kita.
"Kita adalah Keadilan. Perjuangan ini adalah perjuangan bersama. Demi rakyat, demi masa depan Malaysia, kita terus melangkah dengan yakin dan teguh," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Susulan kemenangan itu, beliau menegaskan komitmennya untuk membawa suara Malaysia Madani ke pentas nasional, berteraskan semangat reformasi yang tidak pernah luntur.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar seluruh anggota parti merapatkan saf dan bergerak ke hadapan dengan semangat yang utuh di bawah kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kini adalah masa untuk kita memperkukuh parti, memperkasa idealisme perjuangan dan memastikan Keadilan kekal sebagai wadah utama rakyat yang menjunjung prinsip Malaysia Madani.
"Saya amat menghargai segala bentuk sokongan, mandat dan kepercayaan yang telah diberikan oleh para perwakilan," ujarnya. - Media Telus
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm