TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Muhyiddin nafi dakwaan tidak sokong blok Borneo, sifatkan kenyataan Hajiji Noor sebagai pembohongan

By
|
Kongsi
image

TAWAU 2 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mendakwa beliau tidak menyokong blok Borneo ketika menjadi Perdana Menteri.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyifatkan kenyataan Hajiji sebagai tidak berasas dan satu pembohongan semata-mata.

“Ada baru-baru ini satu kenyataan dikeluarkan. Kenapa dia (Hajiji) khianati kita, kononnya dia kata bahawa saya tidak sokong blok Borneo?

“Sejak bila saya kata saya tak sokong blok Borneo? Saya pun tak tahu siapa blok itu, kerana sejak awal-awal lagi saya sudah berada di Sabah ini,” katanya ketika berucap pada majlis Jelajah Rakyat PN di sini, malam tadi.

Muhyiddin berkata, kehadirannya yang konsisten di Sabah sejak dahulu menjadi bukti sokongannya terhadap pembangunan dan kepentingan negeri itu.

“Kalau saya nak ceritakan satu masa yang agak lalu, ketika UMNO masuk ke Sabah, sampai sekarang saya masih berada di Sabah kerana saya yakin negeri ini ada keistimewaan, ada kekayaan muka bumi untuk dibangunkan menjadi negeri maju dan berjaya.

“Sejak bila saya katakan saya tak sokong Sabah ataupun tak sokong blok Borneo? Bohong,” tegasnya.

Menurut beliau, dakwaan tersebut menjadi isyarat kepada rakyat Sabah bahawa sudah tiba masanya membina semula kekuatan dan mengembalikan maruah negeri itu yang terjejas akibat pengkhianatan politik.

“Waktu pilihan raya yang dikatakan akan tiba tidak lama lagi, kita sudah pun merantau ke banyak tempat dan akan terus membawa risalah serupa seperti ini,” katanya.

Jelas Muhyiddin, misi PN bukan sahaja mahu memimpin semula Sabah, tetapi juga menawan kembali Kerajaan Persekutuan daripada Pakatan Harapan (PH).

“Sudah sampai masa kita kembalikan maruah, bina kekuatan supaya Sabah kembali di bawah pimpinan PN. Bukan sahaja Sabah, Kerajaan Pusat juga kita akan ambil semula bila Anwar turun,” katanya.

Terdahulu, Hajiji dalam Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Ahad lalu mendakwa terdapat pemimpin kerajaan terdahulu yang tidak menyukai blok Borneo, namun tidak menamakan individu terbabit. – Media Telus

+ - reset