TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sistem tapisan penumpang awal dilaksana hujung tahun, tangani kemasukan haram – Saifuddin

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kerajaan bakal melaksanakan Sistem Tapisan Penumpang Awal (Advance Passenger Screening System) menjelang akhir tahun ini sebagai langkah drastik menangani isu kemasukan warga asing secara haram ke negara ini, khususnya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem berkenaan akan membolehkan pihak berkuasa menerima maklumat penumpang lebih awal, sebelum ketibaan mereka ke Malaysia.

“Fasa awal sistem ini akan melibatkan 10 daripada 56 syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini, dengan maklumat penumpang dihantar terlebih dahulu bagi membolehkan semakan keselamatan dibuat secara proaktif,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa sama, Saifuddin memaklumkan bahawa kementeriannya sedang giat melaksanakan pendigitalan penuh perkhidmatan imigresen, termasuk peluasan penggunaan autogate di semua pintu masuk utama negara.

Sebanyak 635 unit autogate akan dipasang di 123 pintu masuk bawah kendalian Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM) bermula Disember ini, melibatkan lokasi seperti:

  • KLIA Terminal 1 & 2

  • Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

  • Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

  • Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang

  • Bangunan Sultan Iskandar (BSI)

  • Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru

Pelaksanaan penuh dijangka siap menjelang Mac 2028.

“Autogate ini akan menggunakan data biometrik – seperti pengecaman wajah, imbasan iris dan cap jari – bagi menghapuskan kebergantungan kepada budi bicara pegawai. Ini sekali gus mengurangkan risiko manipulasi atau salah guna kuasa,” katanya.

Sebagai tambahan, projek rintis penggunaan kamera badan (bodycam) turut dilaksanakan ke atas pegawai imigresen di pintu masuk utama, termasuk di KLIA.

“Buat masa ini, ujian konsep sedang berlangsung, dan sebanyak 614 unit kamera badan akan diperoleh bulan depan, tertakluk kepada kelulusan,” katanya.

Saifuddin menjelaskan bahawa semua langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh kementeriannya untuk menoktahkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa di pintu masuk negara.

“Isu integriti pegawai bukan sahaja merosakkan reputasi Jabatan Imigresen dan AKSEM, malah menggugat keyakinan rakyat serta pelabur terhadap sistem kawalan sempadan kita.

Kita tiada ruang untuk pegawai yang khianat. Kementerian Dalam Negeri berpendirian sifar toleransi terhadap salah laku,” tegas beliau.

+ - reset