TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hanya sijil halal AS diiktiraf JAKIM dibenar untuk import – Tengku Zafrul

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kerajaan menegaskan bahawa hanya daging, produk daging serta unggas dari Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai sijil halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sahaja akan dibenarkan masuk ke pasaran tempatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal pensijilan halal dan akan terus mengekalkan piawaian halal patuh syariah bagi melindungi kepentingan pengguna Muslim di negara ini.

“Fasilitasi yang ditawarkan hanya melibatkan pemantauan dan verifikasi oleh badan pensijilan halal AS yang diiktiraf oleh JAKIM.

"Dakwaan bahawa Malaysia akan serta-merta mengiktiraf semua sijil halal AS adalah tidak benar, mengelirukan dan berniat jahat,” katanya dalam sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa rundingan dengan AS merangkumi pemudahcara bagi pensijilan dan pendaftaran fasiliti pengeluar produk seperti tenusu; daging dan produk daging; unggas dan produk unggas  

“Kedua-dua negara turut bersetuju menerima pelaksanaan kaedah ‘regionalisation’ untuk kawalan penyakit haiwan bagi eksport unggas hidup dan produk unggas dari AS,” jelas beliau.

Dalam rundingan sama, Malaysia dan AS turut bersetuju memudah cara pengiktirafan standard dan pemasaran bagi beberapa produk industri dari AS.

Selain aspek perdagangan, kedua-dua negara turut memperkukuh komitmen dalam beberapa isu sejagat.

“Semua ini dilaksanakan sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia, termasuk di bawah pelbagai pertubuhan global yang berkaitan,” tambah Tengku Zafrul.

 

+ - reset