TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MoT kekal larangan keluaran nombor pendaftaran khas untuk NGO, syarikat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Kementerian Pengangkutan (MoT) tidak lagi meluluskan pengeluaran atau penjualan nombor pendaftaran khas (NPK) kepada syarikat, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan perniagaan atau keuntungan, selaras keputusan Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2022.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata larangan itu kekal di bawah dasar semasa kementerian.

“Kriteria dasar semasa ialah memberhentikan pengeluaran atau kebenaran penjualan NPK kepada NGO atau syarikat korporat, termasuk bagi tujuan perniagaan yang menjana keuntungan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai garis panduan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam meluluskan siri NPK oleh agensi kerajaan, NGO atau entiti swasta.

Sejak diperkenalkan pada 2023, penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) melalui platform JPJeBid berjaya mengutip hasil RM110,069,150, yang dimasukkan ke Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan untuk program berpaksikan rakyat.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung isu teknikal JPJeBid, Hasbi mengakui terdapat masalah pada peringkat awal pelaksanaan, namun kebanyakannya telah diselesaikan.

“Alhamdulillah, sekarang masalah itu sudah tidak timbul lagi. Masih ada sedikit kegagalan teknikal, tetapi tidak meluas seperti dulu,” katanya. – Media Telus

+ - reset