TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua pelajar tampar rakan sekelas mengaku salah

By
|
Kongsi
image

KAJANG 6 Ogos – Dua pelajar lelaki Tingkatan Satu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berkelakuan tidak sopan dengan menampar rakan sekelas dalam kejadian yang tular di sebuah pusat beli-belah baru-baru ini.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil dalam prosiding tertutup memandangkan kedua-dua tertuduh adalah pesalah juvana berusia 13 tahun.

Mahkamah menetapkan 18 September depan bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja itu didakwa menampar seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di tempat awam dalam kejadian jam 11 pagi pada 30 Julai lalu. Tindakan tersebut disifatkan sebagai berkelakuan kurang sopan dan mengganggu keamanan.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri mengendalikan pendakwaan manakala peguam Lee Tee Kiat mewakili kedua-dua pesalah juvana tersebut.

Mahkamah turut membenarkan kedua-duanya diikat jamin sebanyak RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, media melaporkan insiden itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap cara bercakap mangsa, yang kemudian dipukul oleh rakan sekelasnya di pusat beli-belah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, setakat ini sembilan keterangan saksi telah diambil termasuk empat pelajar yang sebelum ini ditahan. – Media Telus

+ - reset