TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Silambam terpinggir dari SUKMA, atlet dan komuniti India kecewa, tuntut penjelasan KBS

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Ketiadaan seni mempertahankan diri Silambam dalam senarai sukan rasmi yang akan dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2025 mengundang rasa kecewa dalam kalangan penggiat sukan serta masyarakat India yang melihat keputusan itu sebagai satu penafian terhadap kepelbagaian budaya dan bakat anak muda negara ini.

Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (Team DSK), Datuk N Sivakumar menyifatkan langkah itu sebagai mengecewakan kerana Silambam sebelum ini telah diberi ruang untuk dipertandingkan dalam SUKMA 2024 di Sarawak secara demonstrasi, dengan jaminan untuk disenaraikan secara rasmi dalam edisi berikutnya.

Namun, apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini mengumumkan 34 jenis sukan yang akan dipertandingkan di SUKMA Selangor 2025, Silambam tidak tersenarai sama ada dalam kategori sukan wajib mahupun sukan tambahan rasmi.

“Silambam, sebagai seni mempertahankan diri yang mempunyai sejarah panjang dan nilai budaya tersendiri dalam kalangan masyarakat India, sewajarnya diberi pengiktirafan setanding dengan sukan lain.

"Apa yang menyedihkan ialah seni ini terus terkecuali dalam senarai keseluruhan 34 jenis sukan yang akan dipertandingkan dalam SUKMA akan datang,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau turut mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang sebelum ini memaklumkan bahawa Silambam akan dimasukkan sebagai sukan pingat dalam edisi 2026, namun kini seolah-olah tiada sebarang kesinambungan terhadap keputusan tersebut.

Menurut Sivakumar, ramai atlet belia khususnya daripada komuniti India aktif menyertai Silambam dan ketiadaan sukan itu dalam kejohanan terbesar peringkat kebangsaan seperti SUKMA seolah-olah menidakkan peluang mereka untuk berkembang di peringkat tertinggi.

“Alasan bahawa Silambam tidak termasuk dalam sukan Olimpik tidak boleh dijadikan asas kukuh untuk menolaknya. Kita ada contoh sukan seperti Kabaddi yang turut bukan sukan Olimpik tetapi disenaraikan atas dasar penyertaan dan potensi,” katanya.

Tambah beliau, Silambam bukan sahaja relevan dari segi tradisi, malah turut menyumbang kepada pembangunan fizikal, mental dan sahsiah belia, selaras dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan perpaduan melalui kepelbagaian.

Katanya, Silambam juga berpotensi diketengahkan di peringkat antarabangsa memandangkan penyertaan Malaysia dalam kejohanan dunia dan serantau membuktikan kewujudan bakat yang boleh digilap.

“Sukan bukan sekadar medan kompetitif tetapi juga medium integrasi dan ekspresi budaya. Sukan tradisi seperti Silambam tidak harus disisihkan hanya kerana ia bukan arus perdana. Kita harus meraikan semua warisan bangsa dalam ekosistem sukan negara,” tegas beliau lagi.

Dalam masa sama, beliau menyeru pihak kerajaan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan, agar menilai semula keputusan tersebut demi menjamin keterangkuman dan keadilan dalam arena pembangunan sukan nasional. - Media Telus

 

 

+ - reset