Berita Berita
KPM buat lebih 10 laporan polis, kecam penyebaran fitnah kes Zara Qairina

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Kementerian Pendidikan (KPM) sudah membuat lebih 10 laporan polis berhubung penyebaran video dan penulisan mengaitkan kes kematian Zara Qairina Mahathir,13, pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah, yang boleh menimbulkan kemarahan awam terhadap guru dan pelajar
Antara lain, laporan polis itu dibuat KPM di Putrajaya selepas dinasihat Bahagian Undang-Undangnya, selain laporan sama dibuat di Sabah oleh guru sekolah itu dan ibu bapa kepada pelajar yang nama, gambar serta identiti mereka disebarkan kononnya terbabit dalam kes berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata laporan polis itu dibuat sejajar dengan keutamaan kementerian yang fokus menjaga kesejahteraan pelajar dan warga sekolah kerana sebaran berita palsu itu bukan saja menjejaskan emosi mereka terbabit, malah turut mengancam keselamatan.
Beliau berkata, antara lain sebaran maklumat palsu itu sama ada dalam bentuk video atau tulisan yang dimuat naik dalam media sosial dan dikongsi secara meluas, boleh menimbulkan kemarahan pihak lain yang akhirnya mungkin menyebabkan pelajar atau guru terdedah kepada tindakan tidak diingini dilakukan terhadap mereka.
Susulan itu, katanya, laporan polis itu juga bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan dibuat dan mengambil tindakan terhadap mereka terbabit jika ia tidak benar, sekali gus menghentikan kegiatan tidak bermoral ini.
"Siasatan kes Zara Qairina ini dibuat polis dan kita serahkan kepada pihak berkuasa mengendalikannya. Malangnya pada masa sama, ramai yang muncul menyebarkan berita palsu berhubung kematian Zara dengan pelbagai tuduhan dan fakta tidak benar.
"Bagi menjaga kesejahteraan dan melindungi pelajar serta guru, BUU KPM mengumpul semua berita palsu ini dan membuat laporan polis mengenainya untuk tindakan lanjut termasuk video seorang wanita membuat ulasan kononnya kecederaan dalaman dialami Zara akibat dimasukkan dalam mesin basuh.
"Selain itu, ibu bapa kepada pelajar yang namanya dikaitkan dalam kes ini juga turut membuat laporan polis demi keselamatan anak mereka.
"Bayangkan bagaimana jika kesan hasil sebaran berita palsu ini menyebabkan pelajar atau guru diugut dan dipukul, atau siasatan kelak menunjukkan mereka tidak bersalah, tetapi mereka sudah 'dihukum' dengan pelbagai tuduhan palsu," katanya kepada BH, hari ini.
Zara Qairina ditemui parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, pada jam 11 pagi keesokan harinya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pada 31 Julai lalu memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kematian Zara Qairina dan laporan penuh siasatan awal kes itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Fadhlina berkata, susulan laporan polis dibuat KPM itu, ada pihak yang aktif menyebarkan berita palsu ini sudah menarik bahan dimuat naik mereka di media sosial dan berhenti berbuat demikian.
Beliau berkata, semua pihak perlu memahami kejadian yang berlaku ini bukan saja memberi tekanan kepada keluarga mangsa, malah turut menjejaskan kesihatan mental pelajar dan guru sekolah itu yang perlu berdepan dengan pelbagai andaian serta tohmahan akibat tragedi itu.
"Orang nampak seperti KPM diam, tetapi sebenarnya kita sentiasa melindungi dan memastikan kesejahteraan pelajar serta warga sekolah terpelihara.
"Kita bantu siasatan terutama dalam proses soal siasat membabitkan 60 saksi daripada sekolah itu yang perlu dibuat mengikut panduan undang-undang dan menepati Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Sementara itu, mengulas pelajar yang mungkin mengalami tekanan ketika disoal siasat polis, Fadhlina berkata, prosedur operasi standard (SOP) KPM perlu sentiasa dipatuhi iaitu siasatan dilakukan dengan kehadiran ibu bapa, guru besar, guru kaunselor dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
"SOP ini diamalkan sejak dulu kerana kita tidak mahu pelajar yang di bawah umur ini tertekan dengan proses siasatan kes jenayah yang dijalankan kerana mereka bukan pesalah.
"Jadi, sesi siasatan tidak boleh diadakan hanya membabitkan pelajar itu seorang diri saja. Polis yang terbabit juga sangat profesional kerana mereka tahu Akta Kanak-Kanak 2001 yang perlu dipatuhi," katanya.
Berita berkaitan
August 9, 2025, 11:28 pm
Bayi 11 bulan dirampas dari ibu, nyaris jadi tebusan lelaki Vietnam dalam pasar raya di Butterworth
August 9, 2025, 7:11 pm
Hanya satu institusi laksana saringan pendidikan khas pra-sekolah - Fadlina
August 9, 2025, 5:59 pm
'Umur 19 tahun pun dah ada yang kena serangan jantung' - NCD di Malaysia semakin membimbangkan
August 9, 2025, 5:42 pm
Kos kenaikan gaji penjawat awam dijangka cecah RM18 bilion tahun depan - Anwar
August 9, 2025, 3:25 pm
'Bakal beri banyak manfaat' - Johor sambut baik cadangan guna khidmat jururawat dari Indonesia
August 9, 2025, 12:53 pm
Guru pondok tak terkecuali keperluan kuasai AI - PM Anwar
August 9, 2025, 12:38 pm
'Bring it on!' - Asyraf Wajdi sedia berdepan ibu bapa pelajar 'samseng' MRSM dibuang sekolah
August 9, 2025, 11:36 am
Kubur Zara Qairina akan digali semula secepat mungkin - Saifuddin
August 9, 2025, 10:08 am