TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebih banyak peluang untuk belia, MBD Tampin sambut baik penurunan had umur belia kepada 30 tahun

By
|
Kongsi
image

 

TAMPIN 7 Ogos – Majlis Belia Daerah (MBD) Tampin menyatakan komitmen dan kesediaan penuh menerima pelaksanaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang menetapkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Ketua Penerangannya, Amir Hidayat Nazry Muhammad berkata, pindaan yang telah diluluskan sejak 2019 itu sepatutnya tidak lagi dipertikaikan kerana tempoh transisi yang panjang telah pun diberikan, malah ruang untuk penyesuaian di peringkat akar umbi sepatutnya telah digerakkan lebih awal.

Beliau menyifatkan langkah menurunkan had umur belia ini sebagai selari dengan matlamat memperkukuh barisan kepimpinan muda yang lebih segar, progresif dan responsif terhadap cabaran semasa.

Malah, ia juga memberikan lebih banyak ruang kepada generasi muda bawah 30 tahun untuk tampil ke hadapan membina keyakinan dan memimpin perubahan.

Katanya, adalah tidak wajar jika ketika tempoh kuat kuasa semakin hampir, masih wujud suara bantahan dan gesaan supaya pelaksanaan ditangguhkan.

Tindakan reaktif seperti itu, tegasnya, bukan sahaja merugikan gerakan belia, malah menggambarkan ketidakpercayaan terhadap kemampuan generasi baharu untuk memimpin.

Amir menambah, pindaan Akta 668 turut menetapkan had umur bagi memegang jawatan dalam pertubuhan belia antara 18 hingga belum mencapai 30 tahun, selain mengehadkan tempoh jawatan ketua pertubuhan kepada empat tahun sahaja.

Jelasnya, pindaan ini bukanlah satu bentuk ancaman, sebaliknya peluang besar untuk meremajakan organisasi dan memperkukuh struktur kepimpinan masa depan.

Dalam konteks daerah Tampin, beliau menjelaskan bahawa MBD telah lebih awal melaksanakan proses peremajaan ini apabila kepimpinan organisasi diambil alih oleh anak muda sekitar usia pertengahan 20-an pada tahun 2021.

Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan bahawa perubahan ini bukan sesuatu yang mustahil jika diberikan ruang, kepercayaan dan dorongan yang betul.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan belia terdahulu di daerah itu yang disifatkan berjiwa besar kerana memberi peluang awal kepada generasi muda untuk mengurus dan menerajui organisasi.

Jelasnya, kepercayaan dan sokongan moral seperti itu adalah asas kepada kematangan dan keyakinan anak muda dalam memimpin.

Amir turut mengingatkan bahawa kepimpinan senior tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada perubahan ini, sebaliknya perlu menjadi mentor yang membimbing generasi pelapis agar bersedia menghadapi cabaran sebenar dalam dunia kepimpinan.

Menurutnya, organisasi belia harus menjadi ruang latihan yang mendidik dan membentuk pemimpin masa depan negara, bukan sekadar medan mempertahankan kedudukan lama.

Beliau turut memberi jaminan bahawa MBD Tampin komited untuk terus menyokong dasar kerajaan dalam usaha melahirkan barisan kepimpinan belia yang berkualiti, berprinsip dan bersedia membawa negara ke hadapan.

Menurutnya, semua pihak perlu memahami bahawa perubahan ini tidak menamatkan perjuangan belia, sebaliknya membuka lembaran baharu dalam landskap kepimpinan negara.

"Peremajaan bukanlah suatu penamat, bahkan ia adalah permulaan kepada satu era baharu kepimpinan belia di Malaysia," katanya. 

+ - reset