Berita Berita
HRD Corp terima kunjungan Menteri Kemahiran UK, perkukuh kerjasama dua hala Malaysia-Britain

Oleh NUR LELA ZULKIPLI
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pembangunan kemahiran dan tenaga kerja antara Malaysia dan United Kingdom (UK) diteruskan melalui kunjungan hormat Menteri Kemahiran UK, Baroness Smith of Malvern, ke Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di ibu pejabat agensi itu di Bukit Damansara, baru-baru ini.
Lawatan rasmi itu menjadi sebahagian daripada rangka kerja diplomasi strategik dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), selain memperkukuh kerjasama dalam program peningkatan kemahiran, pembangunan bakat dan inovasi antara kedua-dua negara.
Baroness Smith yang juga Menteri Wanita dan Kesaksamaan UK diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ajay Sharma, serta delegasi Jabatan Pendidikan UK dan British Council.
Ketibaan delegasi disambut oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Dr Kelvin Yii Lee Wuen; Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid; serta Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan.
Turut hadir ialah Raja Nizam Raja Kamarulbahrain dari Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Pertemuan dua hala itu menjadi platform penting bagi kedua-dua negara berkongsi pandangan dan pendekatan strategik berkaitan latihan kemahiran, pembangunan bakat tempatan serta inisiatif pembaharuan dalam sistem TVET masing-masing.
Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia untuk meningkatkan daya saing tenaga kerja melalui kerjasama antarabangsa berimpak tinggi.
Abu Huraira dalam sesi perbincangan tersebut menegaskan bahawa lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia–UK, malah mencerminkan kesediaan kedua-dua pihak untuk memacu kerjasama rentas sempadan dalam sektor sumber manusia di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Beliau turut berkongsi bahawa HRD Corp kini menyelaras tujuh platform utama di bawah inisiatif ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, termasuk penganjuran Global Skills Forum (GSF) pada Oktober ini.
Forum tersebut dianjurkan bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan sokongan Sekretariat ASEAN, dan dijangka menjadi pentas perbincangan utama berkenaan transformasi sistem kemahiran serantau serta keterlibatan negara rakan seperti UK.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan pula menyifatkan pertemuan ini sebagai lambang komitmen bersama dalam membina tenaga kerja masa hadapan yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital.
Beliau berkata, usaha memperkukuh jaringan pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat perlu diteruskan secara menyeluruh bagi memastikan ekosistem sumber manusia negara kekal relevan dan kompetitif.
Delegasi UK turut diwakili oleh Dr Faye Taylor, Timbalan Pengarah Strategi, Jabatan Pendidikan UK; Hannah Deighan, Setiausaha Sulit kepada Baroness Smith; Izza Ismail, Penasihat Serantau Pendidikan dan Kemahiran, Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan; Min Mahayuddin, Pengurus Kanan Perdagangan; serta Prabha Sundram daripada British Council Malaysia.
Lawatan ini secara keseluruhannya memperkukuh hubungan Malaysia–UK dalam bidang pembangunan tenaga kerja dan menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama lebih luas dalam konteks serantau serta global, seiring aspirasi Malaysia membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing. - Media Telus
Berita berkaitan
August 9, 2025, 11:28 pm
Bayi 11 bulan dirampas dari ibu, nyaris jadi tebusan lelaki Vietnam dalam pasar raya di Butterworth
August 9, 2025, 7:11 pm
Hanya satu institusi laksana saringan pendidikan khas pra-sekolah - Fadlina
August 9, 2025, 5:59 pm
'Umur 19 tahun pun dah ada yang kena serangan jantung' - NCD di Malaysia semakin membimbangkan
August 9, 2025, 5:42 pm
Kos kenaikan gaji penjawat awam dijangka cecah RM18 bilion tahun depan - Anwar
August 9, 2025, 3:25 pm
'Bakal beri banyak manfaat' - Johor sambut baik cadangan guna khidmat jururawat dari Indonesia
August 9, 2025, 12:53 pm
Guru pondok tak terkecuali keperluan kuasai AI - PM Anwar
August 9, 2025, 12:38 pm
'Bring it on!' - Asyraf Wajdi sedia berdepan ibu bapa pelajar 'samseng' MRSM dibuang sekolah
August 9, 2025, 11:36 am
Kubur Zara Qairina akan digali semula secepat mungkin - Saifuddin
August 9, 2025, 10:08 am