Berita Berita
Ibu Zara Qairina serah telefon kepada polis, syukur AGC kembalikan laporan siasatan kematian anak

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2025 – Ibu kepada pelajar tingkatan satu yang meninggal dunia dalam insiden di sebuah sekolah berasrama di Sabah baru-baru ini akan menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Peguam mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, memaklumkan bahawa telefon berkenaan mengandungi rakaman audio perbualan antara beliau dan anaknya, Allahyarhamah Zara Qairina, yang dipercayai mempunyai maklumat penting berkaitan kes berkenaan.
Menurut kenyataan bersama peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, penyerahan telefon itu akan dibuat pada petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di Kepayan.
Dalam pada itu, pihak keluarga turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara kerana telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal kepada Polis Diraja Malaysia semalam.
Turut disertakan dalam pemulangan laporan tersebut ialah beberapa arahan lanjut bagi melengkapkan siasatan sebelum tindakan susulan diambil.
Menurut kenyataan tersebut, tindakan itu adalah selaras dengan permohonan rasmi keluarga dalam surat bertarikh 5 Ogos lalu yang dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Antara perkara yang dimohon termasuk siasatan dikendalikan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, penggalian semula kubur Allahyarhamah bagi tujuan bedah siasat kedua, serta pelaksanaan inkues bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian tersebut.
Zara Qairina, 13, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah sekitar jam 3 pagi sebelum mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah.
Kematian pelajar itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat dan telah menarik perhatian umum serta desakan agar siasatan rapi dan telus dilaksanakan bagi memberi keadilan kepada pihak keluarga. – Media Telus
Berita berkaitan
August 9, 2025, 11:28 pm
Bayi 11 bulan dirampas dari ibu, nyaris jadi tebusan lelaki Vietnam dalam pasar raya di Butterworth
August 9, 2025, 7:11 pm
Hanya satu institusi laksana saringan pendidikan khas pra-sekolah - Fadlina
August 9, 2025, 5:59 pm
'Umur 19 tahun pun dah ada yang kena serangan jantung' - NCD di Malaysia semakin membimbangkan
August 9, 2025, 5:42 pm
Kos kenaikan gaji penjawat awam dijangka cecah RM18 bilion tahun depan - Anwar
August 9, 2025, 3:25 pm
'Bakal beri banyak manfaat' - Johor sambut baik cadangan guna khidmat jururawat dari Indonesia
August 9, 2025, 12:53 pm
Guru pondok tak terkecuali keperluan kuasai AI - PM Anwar
August 9, 2025, 12:38 pm
'Bring it on!' - Asyraf Wajdi sedia berdepan ibu bapa pelajar 'samseng' MRSM dibuang sekolah
August 9, 2025, 11:36 am
Kubur Zara Qairina akan digali semula secepat mungkin - Saifuddin
August 9, 2025, 10:08 am