TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga remaja beri sisa makanan tulang ayam kepada gelandangan dibebaskan dengan jaminan polis

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN, 7 Ogos – Tiga remaja lelaki termasuk seorang juvana yang ditahan berhubung insiden memberi sisa makanan berupa tulang ayam kepada seorang gelandangan di daerah ini, telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman selama dua hari berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kesemua suspek yang berusia antara 14 hingga 19 tahun itu ditahan di Johor kelmarin selepas video insiden tersebut tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan orang ramai.

“Ketiga-tiga remaja lelaki berkenaan ditahan di Johor dan dibawa ke Seremban bagi membantu siasatan berkaitan kes yang berlaku di sini. Mereka direman selama dua hari bermula kelmarin dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan mengaibkan yang boleh mengganggu ketenteraman awam; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian; serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Tindakan suspek dalam video yang mempersenda dan memperlekeh gelandangan terbabit bukan sahaja menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat, malah mengundang gesaan agar tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Kes berkenaan kini masih dalam siasatan lanjut dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman berkenaan bagi mengelak gangguan terhadap proses siasatan. – Media Telus

+ - reset