TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebih 2,000 doktor, jururawat 'angkat kaki' sejak 2022, KKM umum langkah kekang penghijrahan

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Seramai 2,099 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdiri daripada 705 pegawai perubatan dan 1,394 jururawat meletak jawatan dalam tempoh tiga tahun lalu, sekali gus membangkitkan kebimbangan mengenai kehilangan tenaga kerja berpengalaman dalam sektor kesihatan awam.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kesemua mereka merupakan petugas yang telah berkhidmat lebih lima tahun, dan antara alasan utama peletakan jawatan termasuk beralih ke sektor swasta atau badan berkanun, faktor peribadi serta masalah kesihatan.

“KKM tiada kuasa menyekat pegawai perubatan dan jururawat untuk mencari peluang pekerjaan di sektor lain termasuk luar negara. Namun, kementerian bertanggungjawab membendung penghijrahan dan mengekalkan bakat melalui pelbagai langkah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH–Gopeng) berkenaan trend kehilangan tenaga kerja berpengalaman dalam kalangan doktor dan jururawat sektor awam serta langkah-langkah untuk menanganinya.

Dr Dzulkefly berkata, antara langkah yang dilaksanakan ialah pengecualian lantikan kontrak interim jururawat oleh agensi pusat bagi sesi 2023 dan 2024.

Selain itu, sebanyak 12,761 pegawai perubatan dan 5,396 jururawat telah dilantik secara tetap bagi mengisi kekosongan sepanjang tempoh itu.

“KKM kekal komited memperkukuh sistem penjagaan kesihatan menerusi peningkatan kemahiran, kesiapsiagaan dan mobiliti tenaga kerja. Untuk 2025, pengambilan jururawat juga boleh dilaksanakan melalui lantikan tetap,” katanya.

Bagi mengurangkan beban tugas, KKM turut mengurangkan waktu bekerja syif daripada 45 jam kepada 42 jam seminggu bagi pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan serta jururawat di wad.

Pelbagai bentuk elaun dan insentif turut diberikan termasuk Elaun Lokum, Bayaran Insentif Pakar, Elaun Pos Basik, serta Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan.

Turut diperkenalkan ialah Bayaran Insentif Pra-Warta kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE), sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan beban kerja dalam fasa tersebut.

Dr Dzulkefly turut menjelaskan bahawa laluan kerjaya turut diperkasa menerusi peluang kenaikan pangkat berasaskan masa, termasuk daripada Gred UD9 ke UD14 dalam tempoh 9 hingga 12 tahun, serta sistem kenaikan berasaskan kecemerlangan (TBK 1 dan TBK 2) bagi anggota paramedik selepas 13 tahun berkhidmat.

Tambah beliau, KKM sentiasa menilai dan menambah baik insentif serta manfaat kepada petugas kesihatan secara berterusan, seiring usaha memperkukuh pengurusan sumber manusia bagi fasiliti sedia ada, dinaik taraf dan baharu.

“Semua ini adalah bagi memastikan KKM dapat terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya. – Media Telus

 

 

+ - reset