Berita Berita
Lebih 3,000 kes baharu HIV dicatat tahun lalu, 90 peratus pesakit lelaki

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 3,185 kes baharu HIV pada tahun 2024, dengan tiga suku daripada jumlah itu melibatkan golongan belia berumur antara 20 hingga 39 tahun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut beliau, angka tersebut menunjukkan kadar jangkitan yang masih membimbangkan walaupun terdapat penurunan ketara dalam dekad awal tahun 2000, apabila kes menurun hampir 50 peratus antara tahun 2000 hingga 2009.
“Namun, sejak 2010 hingga kini, kadar penurunan semakin perlahan iaitu hanya 27 peratus. Pada tahun 2024, kadar notifikasi kes HIV baharu ialah 9.4 bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen semalam.
Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH–Cheras) yang meminta penjelasan mengenai keadaan semasa jangkitan HIV di Malaysia termasuk kategori umur, jantina dan punca utama jangkitan.
Lelaki Catat 90 Peratus Kes, Jangkitan Seksual Jadi Punca Utama
Dr Dzulkefly menjelaskan, daripada jumlah keseluruhan kes tahun lalu, 90 peratus adalah dalam kalangan lelaki, manakala selebihnya 10 peratus melibatkan wanita. Walaupun perbezaan ini masih besar, peratusan jangkitan dalam kalangan wanita telah meningkat sedikit berbanding tahun 1990-an, yang ketika itu hanya satu peratus, berbanding 99 peratus lelaki.
Katanya lagi, landskap jangkitan HIV di Malaysia turut mengalami perubahan ketara dari segi mod penularan, di mana sebelum ini jangkitan lebih banyak berlaku melalui perkongsian jarum suntikan dadah, namun kini telah beralih kepada jangkitan melalui hubungan seksual.
“Pada 2024, sebanyak 96 peratus jangkitan HIV berlaku melalui transmisi seksual, dengan pecahan 64 peratus membabitkan hubungan homoseksual/biseksual dan 32 peratus secara heteroseksual,” katanya.
Trend Baharu Perlukan Pendekatan Kesihatan Awam Lebih Menyeluruh
Perkembangan ini, menurut KKM, memerlukan pendekatan kesihatan awam yang lebih holistik, inklusif dan berfokus kepada pencegahan, khususnya dalam kalangan golongan muda dan berisiko tinggi.
Selain aspek rawatan, kementerian komited untuk memperkukuh program pendidikan kesihatan, intervensi komuniti serta perkhidmatan saringan dan kaunseling secara berterusan di seluruh negara. – Media Telus
Berita berkaitan
August 7, 2025, 8:48 pm
Ejen penapis air datang untuk servis terkejut jumpa mayat tuan rumah mereput di ruang tamu
August 7, 2025, 7:32 pm
Imam Masjid Nabawi sampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negara esok
August 7, 2025, 3:24 pm
Kerajaan mungkin naikkan cukai tembakau - PM Anwar
August 7, 2025, 3:09 pm
Bayaran pencen bulanan KWSP hanya terpakai untuk ahli baharu – Kementerian Kewangan
August 7, 2025, 2:37 pm
Polis 'tunggu' Eda Ezrin dan suami sebaik tiba di Kelantan petang ini
August 7, 2025, 2:15 pm