TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tak perasan mangsa melintas depan' - Budak 6 tahun cedera seluruh badan dilanggar van sekolah di Seremban

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN, 6 Ogos 2025 – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mengalami kecederaan di kepala, badan, tangan dan kaki selepas dipercayai dilanggar sebuah van sekolah di Taman Mantau Indah 3, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 pagi ketika mangsa dipercayai sedang melintas di hadapan van sekolah yang menghantarnya pulang dari Tadika Perpaduan Taman Mantau Indah.

“Siasatan awal mendapati pemandu van jenis Kia Pregio itu, seorang wanita berusia 38 tahun, baru selesai menghantar kanak-kanak itu ke rumah pengasuh. Mangsa dilaporkan turun dari van dan berjalan melintasi hadapan kenderaan terbabit sebelum dilanggar.

“Pemandu dipercayai mula menggerakkan kenderaan tanpa menyedari kehadiran mangsa di hadapan van, menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, bagi menerima rawatan lanjut.

Menurut Mohamad Hatta, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya sedang mengumpul maklumat lanjut berkaitan kejadian.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Polis turut menasihatkan pemandu pengangkutan awam agar lebih peka terhadap pergerakan penumpang, terutama kanak-kanak, dan memastikan keselamatan mereka sebelum meneruskan perjalanan. – Media Telus

+ - reset