TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tak perlu berhenti' - PLUS laksana projek rintis tol guna identifikasi nombor plat di 13 plaza tol

By
|
Kongsi
image

 

PETALING JAYA, 7 Ogos – Plus Malaysia Berhad (PLUS) memulakan projek rintis sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) melibatkan 13 plaza tol terpilih di seluruh negara, sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) sepenuhnya menjelang 2027.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif ini merupakan kerjasama strategik antara kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mempercepat transformasi sistem kutipan tol negara ke arah lebih efisien, lancar dan tanpa sentuhan.

Menurutnya, sistem ANPR bakal dilaksanakan secara rintis di Lebuh Raya Utara-Selatan bagi laluan dari Hutan Kampung ke Sungai Dua bermula Oktober ini, sebelum diperluas ke seluruh jajaran lebuh raya kendalian PLUS.

“Hari ini saya sendiri telah melalui lorong tol menggunakan sistem ANPR tanpa perlu berhenti, dan terbukti ia jauh lebih pantas serta lancar. Malah, pengguna bebas memilih mana-mana lorong sedia ada dan tiada sebarang caj pendaftaran dikenakan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat PLUS, Persada PLUS, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa teknologi ANPR bukan sahaja mengimbas nombor plat kenderaan, tetapi turut memadankannya dengan ciri-ciri fizikal kenderaan bagi mengelak penipuan atau penyalahgunaan. Sekiranya terdapat cubaan menukar nombor plat, sistem akan mengesan ketidakpadanan dan membolehkan tindakan keselamatan diambil.

Sistem ANPR membolehkan pengguna kenderaan terus memandu melalui lorong tol tanpa perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan, dan caj tol akan ditolak secara automatik melalui akaun yang dipautkan dengan sistem. Semua transaksi pembayaran akan dibuat melalui aplikasi JustGO yang dibangunkan sebagai platform digital utama bagi sistem ini.

Aplikasi JustGO turut menawarkan pelbagai kemudahan tambahan seperti mod pembayaran digital tanpa tunai, semakan transaksi tol, e-invois, dan peringatan baki akaun. Sekiranya baki tidak mencukupi, pengguna akan dikenakan caj tol susulan yang turut dilengkapi dengan elemen penguatkuasaan.

Alexander berkata, pelaksanaan penuh MLFF kelak tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan kerana akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak industri. Beliau yakin sistem ini akan membawa perubahan besar dalam pengalaman pengguna lebuh raya dan menyumbang kepada pengurangan kesesakan di plaza tol, selaras dengan aspirasi negara ke arah sistem pengangkutan yang lebih pintar dan efisien.

– Media Telus

+ - reset