Berita Berita
'Saya tak tahu apa salah saya, harap mereka tak buat lagi' - Gelandangan maafkan 3 remaja beri sisa makanan tulang ayam

JOHOR BAHRU, 7 Ogos – Gelandangan yang menjadi mangsa dalam video tular melibatkan tindakan tiga remaja lelaki yang memberikan sisa makanan berupa tulang ayam sebagai ‘sedekah’, tampil memaafkan perbuatan tersebut namun berharap kejadian seumpama itu tidak berulang terhadap mana-mana pihak lain.
Menurut laporan Kosmo Online, lelaki berusia 49 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ram berkata, dia tidak mengetahui langsung mengenai tindakan remaja berkenaan sehinggalah diberitahu orang ramai selepas video itu tular di media sosial.
Menurutnya, dia terkejut apabila membuka bungkusan makanan yang diberikan dan mendapati hanya sisa tulang ayam di dalamnya.
Katanya, kejadian itu menyentuh hati ramai pihak, termasuk pengunjung di kawasan pusat bandar yang datang memaklumkan kepadanya bahawa mereka kecewa dengan tindakan tiga remaja terbabit.
Ram berkata, dia sendiri tidak tahu apa kesalahannya sehingga diperlakukan sedemikian, namun memilih untuk bersangka baik dan menganggap remaja-remaja itu masih muda dan kurang matang.
Beliau turut menegaskan bahawa dirinya tidak menyimpan dendam serta memaafkan ketiga-tiga mereka dengan harapan tidak ada lagi gelandangan yang menjadi mangsa penghinaan atau ejekan pada masa akan datang.
Beliau turut berkongsi bahawa dirinya berhijrah ke Johor dari Perak dan telah lama hidup sebagai gelandangan selepas kehilangan pekerjaan.
Tambahnya, selepas video berkenaan tular, terdapat beberapa individu yang datang menyapanya, bertanya khabar dan turut menyumbangkan makanan kepadanya. Ram menzahirkan rasa terima kasih terhadap mereka yang prihatin dan sudi membantu, malah beliau menghargai sokongan masyarakat yang memahami kesusahan hidup gelandangan.
Ram turut dimaklumkan bahawa pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap tiga remaja terlibat, namun menegaskan bahawa beliau tidak campur tangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk mengendalikan perkara tersebut.
Terdahulu, video berdurasi kurang seminit tular di media sosial minggu lalu memaparkan tiga remaja lelaki menikmati ayam goreng sebelum meletakkan sisa tulang ke dalam bungkusan makanan lalu menyerahkannya kepada seorang lelaki gelandangan yang sedang duduk bersendirian.
Tindakan tersebut mengundang kemarahan orang ramai yang menganggap perbuatan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan memalukan. – Media Telus
Berita berkaitan
August 7, 2025, 8:48 pm
Ejen penapis air datang untuk servis terkejut jumpa mayat tuan rumah mereput di ruang tamu
August 7, 2025, 7:32 pm
Imam Masjid Nabawi sampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negara esok
August 7, 2025, 3:24 pm
Kerajaan mungkin naikkan cukai tembakau - PM Anwar
August 7, 2025, 3:09 pm
Bayaran pencen bulanan KWSP hanya terpakai untuk ahli baharu – Kementerian Kewangan
August 7, 2025, 2:37 pm
Polis 'tunggu' Eda Ezrin dan suami sebaik tiba di Kelantan petang ini
August 7, 2025, 2:15 pm
Lebih 3,000 pokok durian haram ditebang dalam tempoh 18 hari di Raub
August 7, 2025, 1:26 pm