TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebih 3,000 pokok durian haram ditebang dalam tempoh 18 hari di Raub

By
|
Kongsi
image

 

RAUB, 7 Ogos – Sebanyak lebih 3,000 pokok durian pelbagai varieti termasuk musang king yang ditanam secara haram di kawasan Hutan Simpan Gunung Benum dekat sini telah ditebang dalam tempoh 18 hari menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Tanaman Durian yang bermula 21 Julai lalu.

Operasi yang diketuai Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) itu merangkumi kawasan seluas 250 hektar dan dijangka berlangsung selama dua bulan.

Pengarah JPNP, Zainuddin Jamaluddin berkata, tindakan tegas ini dilaksanakan susulan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu aktiviti pencerobohan hutan dan penerokaan tanah haram di negeri ini dihentikan serta-merta.

Antara tanaman yang dimusnahkan termasuk durian berusia antara tiga hingga 40 tahun membabitkan varieti musang king, D24, IOI serta durian kampung, selain beberapa pokok buah-buahan lain seperti petai, rambutan dan manggis yang turut ditanam dalam kawasan hutan simpan secara haram.

Zainuddin berkata operasi itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang melakukan rondaan 24 jam bagi membanteras sebarang aktiviti pencerobohan.

Notis pengosongan telah pun diedarkan kepada para pekebun pada 18 Julai lalu dan setakat ini tiada bantahan atau provokasi diterima daripada mana-mana pihak.

Menurutnya, reaksi itu menunjukkan pekebun terbabit sedar akan kesalahan yang mereka lakukan dan akur dengan tindakan penguat kuasa.

Katanya, tindakan menceroboh kawasan hutan simpan tanpa kebenaran boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000, hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Setakat ini, kira-kira 50 hektar kebun durian dan tanaman lain telah dimusnahkan melalui kaedah penebangan pokok.

Bagaimanapun, operasi tersebut turut berdepan cabaran tersendiri apabila banyak laluan ke kawasan kebun haram itu disembunyikan di sebalik pagar dan tanah persendirian.

Beberapa pemilik didapati enggan memberi kerjasama dan pasukan penguat kuasa terpaksa memotong kunci pagar untuk memasuki kawasan tersebut.

Ada juga kebun yang dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan pasukan penguat kuasa, sesuatu yang disifatkan Zainuddin sebagai perkembangan luar biasa dalam operasi sebegini.

Beliau berkata, kebanyakan pekebun haram adalah penduduk tempatan yang jelas tidak gentar dengan tindakan undang-undang.

Justeru, katanya, tindakan lebih tegas perlu diambil bagi mengekang pencerobohan berskala besar yang kini berlaku secara terbuka di negeri ini.

Tegasnya, pihak berkuasa tidak boleh berlembut dengan pihak yang mengambil kesempatan dan semua tanaman serta binaan haram dalam kawasan hutan simpan mesti dimusnahkan bagi memastikan kelestarian hutan terpelihara selaras dengan titah Tuanku. – Media Telus

+ - reset