TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis 'tunggu' Eda Ezrin dan suami sebaik tiba di Kelantan petang ini

By
|
Kongsi
image

 

RANTAU PANJANG, 8 Ogos 2025 – Polis Kelantan menahan penyanyi wanita sohor negeri ini, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suaminya dan empat lagi rakan sebaik sahaja mereka tiba di negeri ini petang Khamis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, memaklumkan bahawa penahanan itu dibuat bagi tujuan merakam keterangan, susulan pembebasan mereka dari tahanan pihak berkuasa Thailand pada Rabu.

Menurut beliau, pihak polis telah menempatkan anggota untuk melaksanakan tindakan tersebut sebaik kumpulan berkenaan tiba di sempadan.

Bagaimanapun, dua daripada enam individu terbabit, iaitu Eridieka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1958/63 kerana dipercayai memasuki Thailand secara tidak sah.

Empat yang lain, termasuk Eda Ezrin dan suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, bersama dua rakan mereka, Mohamad Alif Deraman, 33, dan Nur Aida Mamat, 33, hanya ditahan untuk tujuan rakaman percakapan oleh pihak polis.

Sebelum ini, Eda Ezrin dan kumpulannya dijangka tiba di Balai Polis Sungai Golok pada petang Khamis selepas urusan dokumentasi dengan pihak berkuasa Thailand selesai.

Mereka perlu terlebih dahulu hadir ke balai polis dan seterusnya ke Depot Tahanan Imigresen Golok sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia melalui Rantau Panjang.

Eda bersama lima individu lain sebelum ini ditahan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand, dan dibebaskan sepenuhnya pada Rabu selepas mahkamah menolak permohonan pihak pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam.

Pembebasan itu sekali gus menamatkan tempoh penahanan mereka yang dilaporkan menjangkau hampir sembilan bulan sejak mereka ditahan atas dakwaan berkaitan dadah.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, proses rakaman keterangan akan dijalankan oleh JSJN Kelantan.

Selain keterangan, polis turut akan mengambil sampel air kencing kesemua individu terbabit untuk tujuan saringan lanjut. – Media Telus

+ - reset