Berita Jenayah
Anggota polis maut dirempuh suspek kes pecah rumah ketika larikan diri di Alor Setar
ALOR SETAR, 7 Ogos – Seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu suspek dalam kejadian di Taman Golf, di sini petang semalam.
Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kenderaan jenis Lexus yang dipandu seorang daripada suspek ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang selepas pasukannya menerima maklumat awam mengenai kegiatan mencurigakan di sebuah rumah di kawasan tersebut.
“Lima anggota JSJ digerakkan ke lokasi dan sebaik tiba, mereka mendapati beberapa individu sedang cuba mencuri peti besi dari sebuah rumah yang ditinggalkan.
“Salah seorang suspek bertindak melanggar mangsa yang baru keluar dari kenderaan pasukan, menyebabkan kecederaan parah dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Beliau berkata, seorang suspek berjaya diberkas di lokasi manakala tiga lagi meloloskan diri menggunakan kenderaan sama yang mengalami kerosakan akibat pelanggaran.
Mereka kemudiannya melarikan sebuah lagi kenderaan milik pasangan warga emas di sebuah hotel, dengan turut membawa bersama seorang wanita yang berada di tempat duduk penumpang ketika itu.
Kenderaan itu kemudian terlibat dalam kemalangan di Kepala Batas sebelum kesemua suspek berjaya diberkas semula.
“Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun dan dipercayai berasal dari Johor. Semakan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai 77 rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya.
Dua lagi masing-masing mempunyai 30 dan enam rekod jenayah, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod lampau. Polis percaya kumpulan tersebut bergerak merentas negeri bagi melakukan kegiatan pecah rumah.
Adzli berkata, pemeriksaan ke atas rumah yang cuba dipecah masuk mendapati terdapat kesan umpil pada bahagian pintu, namun tiada penghuni ketika kejadian berlaku.
Katanya lagi, kedua-dua kenderaan yang digunakan suspek berjaya ditemukan semula dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk kemungkinan wujudnya maklumat dalaman yang dimanfaatkan kumpulan berkenaan.
“Mohd Hafizul yang berasal dari Setiu, Terengganu meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia antara empat hingga 11 tahun. Beliau gugur ketika menjalankan tugas dan kehilangannya amat dirasai pasukan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana menceroboh dan pecah rumah.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian atau melibatkan keluarga mangsa sementara siasatan dijalankan. – Media Telus
Berita berkaitan
September 17, 2026, 1:44 pm
Polis tahan wanita serang anggota guna pisau sewaktu tangkapan di Chan Sow Lin
September 14, 2026, 5:13 pm
Wanita Malaysia ditahan di Hong Kong cuba seludup putik ganja bernilai RM830,000
September 9, 2026, 6:25 pm
Polis tahan lima individu termasuk bekas pengerusi Tabung Haji bantu siasatan
September 8, 2026, 1:40 pm
Lelaki gagal bayar along dipaksa simbah cat dan bakar rumah mangsa lain
September 7, 2026, 1:40 pm
Dua lelaki ditahan polis selepas ragut rantai emas warga emas di Arau
September 7, 2026, 11:13 am
Mat rempit lari tinggal motosikal lepas dikepung polis di Putrajaya
September 6, 2026, 9:54 pm
Polis buru lelaki warga asing selepas syabu dijumpai dalam kereta
September 6, 2026, 9:17 am
Polis Pahang buka siasatan kanak-kanak perempuan dilayan kasar di taska
September 5, 2026, 2:53 pm
Vape disyaki kandungi dadah ‘Piu Piu’ RM160,000 dirampas di Batu Pahat
September 5, 2026, 2:45 pm
