TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tetak polis dengan parang, pemotong rumput dipenjara lapan bulan

By
|
Kongsi
image

KUANTAN, 8 Ogos – Seorang lelaki yang mengamuk dan mencederakan seorang anggota polis menggunakan senjata tajam di FELDA Bukit Kuantan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Muhamad Firdaus Abdul Hamid, 37, yang bekerja sebagai pemotong rumput, mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan anggota polis berkenaan ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ellyna Othman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Shafril Izzwan Ismail, 37, menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah parang panjang dan dua bilah parang pendek.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 petang, 2 Ogos lalu, di hadapan sebuah rumah di FELDA Bukit Kuantan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan mengenai seorang lelaki mengamuk di lokasi berkenaan pada jam 3.12 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Polis Panching tiba di lokasi selepas menerima maklumat kejadian dan dimaklumkan bahawa mangsa mengalami kecederaan akibat ditetak tertuduh.

Susulan itu, Muhamad Firdaus berjaya ditahan sekitar jam 5.30 petang oleh anggota Balai Polis Panching bersama bantuan Pondok Polis Bukit Goh. Turut dirampas adalah sebilah parang panjang dan dua bilah parang pendek yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Ahmad Mokhlis, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azlan Mohd Arish @ Arshad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

+ - reset