TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua bulan lagi, Belanjawan 2026 bakal dibentang 10 Oktober depan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa Belanjawan 2026 akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober 2025, selaras dengan agenda meneruskan Kerangka Ekonomi MADANI serta pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Dalam kenyataan Prabelanjawan 2026 yang dikeluarkan hari ini, MOF memaklumkan bahawa kementerian itu sedang menyelaras penglibatan menyeluruh pelbagai pihak berkepentingan dan masyarakat awam untuk mendapatkan input bagi penyediaan belanjawan tersebut.

“Kerajaan komited untuk menterjemahkan input yang diterima ke dalam Belanjawan 2026, terutamanya yang dapat menyokong pemerkasaan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan tadbir urus yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.

Belanjawan 2026 merupakan belanjawan MADANI keempat, dirangka bagi memulihkan daya tahan fiskal negara, memperkukuh asas ekonomi, serta mengangkat darjat hidup rakyat. Ia akan terus menelusuri tiga tonggak utama Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat, dan memacu pembaharuan dengan penekanan terhadap tatakelola yang baik.

Menurut MOF, belanjawan tersebut menjadi asas penting kepada permulaan pelaksanaan RMK13, dan akan memberi tumpuan kepada penyampaian agenda ekonomi jangka panjang Malaysia di samping menangani cabaran jangka pendek seperti ketidaktentuan global dan peningkatan persaingan.

"Pada masa sama, usaha akan diambil bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi bantuan lebih bersasar berteraskan keberhasilan ke arah menambah baik kualiti hidup,” jelasnya.

Tambah kementerian itu, pendekatan berasaskan akar umbi dan berorientasikan rakyat akan terus menjadi nadi kepada dasar awam negara.

“Belanjawan 2026 akan terus memacu pendekatan yang memajukan agenda Ekonomi MADANI melalui strategi berpusatkan rakyat yang menumpukan kepada keperluan masyarakat,” katanya lagi.

Dalam merangka belanjawan kali ini, kerajaan juga akan meneruskan pendekatan mendapatkan maklum balas secara aktif daripada rakyat, komuniti perniagaan serta pihak berkepentingan agar dasar-dasar yang dibentuk kekal relevan dengan realiti semasa.

Orang ramai yang ingin memberikan pandangan atau cadangan berhubung Belanjawan 2026 boleh melakukannya menerusi portal rasmi: https://belanjawan.mof.gov.my. – Bernama

+ - reset