Berita Berita
Polis minta anak Sosilawati tampil bantu siasatan kes terima bungkusan ganja dari Thailand

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta ahli perniagaan, Erni Dekritawati Yuliana atau lebih dikenali sebagai Rita Sosilawati, supaya tampil membantu siasatan berhubung dakwaan menerima bungkusan mencurigakan disyaki mengandungi ganja di kediaman ahli keluarganya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan dakwaan tersebut yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Kita minta individu terbabit tampil membuat laporan polis supaya siasatan boleh dilakukan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian susulan hantaran yang dimuat naik oleh Rita di platform Thread miliknya pada Rabu lalu, mendakwa adiknya menerima bungkusan dari Thailand mengandungi bahan dipercayai ganja seberat tujuh gram.
Menurut dakwaan Rita, walaupun bungkusan itu dihantar ke alamat rumah adiknya, nama penerima pada bungkusan tersebut langsung tidak dikenal pasti.
“Scam terbaru, alamat rumah pun dah tak selamat. Semalam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) datang rumah adik.
“Mereka kesan parcel alamat rumah yang (dihantar) dari Thailand mengandungi ganja seberat tujuh gram,” tulisnya dalam hantaran tersebut, sambil memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat.
Bagaimanapun, pihak polis mengesahkan tiada laporan rasmi diterima dan meminta Rita atau mana-mana pihak berkaitan tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut prosedur undang-undang.
Berita berkaitan
August 8, 2025, 4:51 pm
Dua bulan lagi, Belanjawan 2026 bakal dibentang 10 Oktober depan
August 8, 2025, 4:40 pm
UiTM kekal fokus bantu bumiputera, henti terus kemasukan pelajar antarabangsa
August 8, 2025, 2:22 pm
Tetak polis dengan parang, pemotong rumput dipenjara lapan bulan
August 8, 2025, 1:05 pm