Berita Berita
UiTM kekal fokus bantu bumiputera, henti terus kemasukan pelajar antarabangsa

SHAH ALAM 8 Ogos – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengesahkan bahawa pengambilan pelajar antarabangsa bagi program pascasiswazah telah dihentikan sejak setahun lalu bagi memastikan universiti itu terus kekal pada landasan asal penubuhannya yang khusus untuk bumiputera.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kajian terperinci dilaksanakan berasaskan matlamat utama penubuhan UiTM yang termaktub dalam Akta 173, berkait rapat dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Kita memang sudah setahun tidak mengambil pelajar antarabangsa secara langsung dan ketika ini hanya menunggu pelajar sedia ada menghabiskan pengajian.
“Dalam Akta 173 kita secara jelas menyebut soal Perkara 153. Oleh kerana itu, kami sangat teliti untuk memastikan kita memenuhi peruntukan penubuhan asas UiTM untuk membantu bumiputera,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pelepasan program Jalan-Jalan Kemerdekaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat UiTM 2025 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, UiTM masih menerima pelajar antarabangsa menerusi program pertukaran pelajar bagi mengekalkan suasana pembelajaran yang bersifat global.
Mengulas dakwaan Suara Siswa UiTM mengenai kebimbangan terhadap program komersial UiTMSeat Plus, Shahrin menjelaskan bahawa laluan tersebut bukan saluran utama kemasukan ke universiti, berbeza dengan kemasukan menerusi Unit Pusat Universiti (UPU).
“Jumlahnya adalah sangat sedikit, iaitu daripada keseluruhan 199,000 pelajar hanya 46 orang sahaja yang masuk menggunakan saluran komersial, iaitu UiTMSeat Plus yang membuktikan universiti itu masih memberi keutamaan kepada saluran UPU membabitkan pelajar daripada keluarga B40.
“Kita akan pastikan mereka ini tidak tersisih dalam mencapai atau memasuki program-program yang bersifat profesional dan utama. Jadi pengumuman yang kita buat itu tidak mengganggu tugas utama kita memastikan pendidikan diberikan akses kepada bumiputera B40,” ujarnya.
Semalam, Suara Siswa UiTM menyuarakan kebimbangan terhadap pengiktirafan UiTMSeat Plus dalam pekeliling permohonan memasuki kolej kediaman, dengan mendakwa program itu tidak adil kerana pelajar UPU menikmati subsidi sedangkan pelajar saluran komersial perlu membayar yuran tanpa subsidi walaupun dari latar belakang berpendapatan rendah.
Berita berkaitan
August 8, 2025, 7:34 pm
AGC arah polis gali semula jenazah Zara Qairina bagi tujuan bedah siasat, siasat segala aspek
August 8, 2025, 4:51 pm
Dua bulan lagi, Belanjawan 2026 bakal dibentang 10 Oktober depan
August 8, 2025, 2:22 pm
Tetak polis dengan parang, pemotong rumput dipenjara lapan bulan
August 8, 2025, 1:48 pm
Polis minta anak Sosilawati tampil bantu siasatan kes terima bungkusan ganja dari Thailand
August 8, 2025, 1:05 pm