Berita Berita
Anwar puji Tipu Sultan sebagai pejuang anti-kolonial, simbol kepimpinan berwibawa

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat perjuangan Tipu Sultan sebagai simbol kepahlawanan anti-kolonial dan kepimpinan berjiwa rakyat dalam ucapannya ketika merasmikan Pameran Ngauman Harimau Mysore: Warisan Haider Ali dan Tipu Sultan di Muzium Kesenian Islam Malaysia.
Anwar berkata, sumbangan Tipu Sultan bukan sahaja penting kepada sejarah India, malah memiliki signifikan besar kepada dunia Islam dan perjuangan menentang penjajahan Barat.
“Tipu Sultan ialah seorang pemimpin yang luar biasa. Seorang pejuang kemerdekaan, pemikir, ilmuwan dan pelopor teknologi ketenteraan pada zamannya. Beliau menolak penjajahan British dengan penuh keberanian,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalamannya mengunjungi Istana Tipu Sultan di Mysore lebih sedekad lalu, yang disifatkan sebagai amat sederhana saiznya, mencerminkan gaya hidup pemimpin yang merendah diri dan tidak tamak haloba.
Dalam ucapannya, Anwar memuji keterbukaan Tipu Sultan terhadap kepelbagaian agama apabila menghormati institusi keagamaan Hindu dan membina hubungan diplomatik dengan pelbagai pemerintah termasuk Perancis.
“Tipu Sultan pernah mengunjungi kuil Hindu tertua di India dan memberikan penghormatan kepada sami-sami di sana. Ia bukti kepimpinan yang penuh kebijaksanaan dan toleransi – nilai yang wajar dicontohi hari ini,” kata Anwar.
Beliau juga menyeru rakyat Malaysia untuk mengkaji sejarah dari perspektif yang lebih luas dan tidak hanya bergantung kepada naratif kolonial.
“Sejarah kita sering ditulis dari sudut pandang penjajah. Sudah tiba masanya kita menulis semula sejarah dari sudut pejuang kemerdekaan dan tokoh tempatan seperti Tipu Sultan yang mengangkat ilmu, teknologi dan perpaduan,” jelasnya.
Dalam pameran bersejarah itu, katanya, merupakan yang paling menyeluruh pernah diadakan di luar India dan memaparkan pelbagai artifak asli milik Tipu Sultan serta bapanya, Haider Ali yang sebelum ini disangka hilang atau musnah.
“Beberapa artifak kini menjadi koleksi tetap di Malaysia hasil usaha Muzium Kesenian Islam Malaysia. Jika ingin kenali Tipu Sultan, datanglah ke muzium ini,” ujarnya sambil mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur.
Menariknya, Anwar turut mengaitkan semangat “lebih baik hidup sehari sebagai harimau daripada seratus tahun sebagai biri-biri” moto terkenal Tipu Sultan dengan pelan pembangunan negara.
“Kita tonjolkan semangat Harimau Malaya dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sejajar dengan semangat juang dan keberanian Tipu Sultan,” katanya.
Turut hadir dalam acara tersebut ialah pengarah filem terkenal India, Akbar Khan, yang menghasilkan dokumentari popular tentang Tipu Sultan dan akan mengadakan sesi wacana bersama ilmuwan tempatan.
Anwar turut menyarankan dokumentari tersebut diterjemah dan disiarkan di saluran televisyen nasional demi memberi manfaat kepada generasi muda.
“Ini bukan hiburan kosong, ia bersejarah dan penuh nilai pendidikan. Saya harap rakyat Malaysia rebut peluang ini untuk mengenali tokoh hebat dunia Islam yang jarang disebut dalam buku sejarah arus perdana,” katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
August 8, 2025, 4:51 pm
Dua bulan lagi, Belanjawan 2026 bakal dibentang 10 Oktober depan
August 8, 2025, 4:40 pm
UiTM kekal fokus bantu bumiputera, henti terus kemasukan pelajar antarabangsa
August 8, 2025, 2:22 pm
Tetak polis dengan parang, pemotong rumput dipenjara lapan bulan
August 8, 2025, 1:48 pm