TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gadis campak bayi baru lahir dari tingkap dijel 3 bulan, denda RM10,000, mahkamah beri peluang kedua

By
|
Kongsi
image

 

GEORGE TOWN 8 Ogos – Seorang wanita muda berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas didapati bersalah atas kesalahan membunuh anak sendiri (infantisid) dengan membuang bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkap sebuah apartment, lima tahun lalu.

Hakim Rofiah Mohamad yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya denda gagal dibayar.

Hukuman penjara tersebut bagaimanapun dikira dari tarikh tertuduh ditahan, iaitu dari 10 Julai hingga 14 September 2020 dan dari 30 Disember 2020 hingga 15 Januari 2021.

Tertuduh, M. Santhiea, ketika kejadian baru berusia 18 tahun, sebelum ini berdepan pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan atas mengambil kira keadaan mentalnya ketika kejadian, termasuk gangguan fikiran selepas bersalin, seperti disahkan melalui keterangan beberapa saksi.

Mengikut Seksyen 309A, mana-mana wanita yang menyebabkan kematian anak yang baru dilahirkan ketika mengalami gangguan fikiran akibat belum pulih sepenuhnya daripada proses bersalin, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Ketika prosiding, Rofiah menyatakan bahawa berdasarkan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan serta fakta kes yang diakui tanpa syarat, mahkamah memutuskan tertuduh bersalah atas pertuduhan infantisid.

Beliau turut merujuk laporan sosial yang mendapati tertuduh mengalami emosi tidak stabil selepas melahirkan bayi tersebut, dan keluarganya turut menerima tekanan serta pengasingan daripada masyarakat berikutan kejadian berkenaan.

“Mahkamah mengambil maklum bahawa tertuduh mengalami kemurungan major (major depression) dan pada hari kejadian, dia sebenarnya telah bertekad untuk membunuh diri selepas melahirkan bayi itu,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh lima tahun sejak kejadian, tertuduh hidup dalam tekanan dan rasa bersalah berpanjangan, walaupun dibebaskan dengan jaminan.

Mahkamah berpandangan bahawa hukuman berat tidak akan membantu kerana trauma dan masalah kesihatan mental yang dihadapinya lebih memerlukan perhatian.

“Berdasarkan kemungkinan tertuduh melakukan perbuatan membunuh diri di dalam penjara, adalah wajar diberikan peluang kedua agar tertuduh dapat kembali kepada masyarakat,” katanya lagi.

Difahamkan, bapa tertuduh telah menjelaskan denda yang dikenakan terhadap anaknya tengah hari tadi. - Media Telus

+ - reset