TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Yang sudah tu sudahlah' – Zahid nasihat Tajuddin dan Azwan Bro henti sengketa demi PRU

By
|
Kongsi
image

PASIR SALAK 17 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan dua tokoh politik umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Khairul Azwan Harun agar mengetepikan perbalahan lama demi memastikan kemenangan barisan nasional (bn) pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga presiden umno berkata, perpecahan hanya melemahkan parti, sebaliknya kesepakatan akan menjamin kestabilan politik dan pembangunan untuk rakyat setempat.

“Yang sudah tu sudahlah, kita pergi ke jalan yang baru. Tengok muka saya ini, saya pun anak Perak juga. Tolonglah saya, insya-Allah kita akan capai kemenangan ini jika wujud kesepakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pengisytiharan keuntungan boleh agih interim 1/2025 di pusat benih padi, Felcra Plantation Sdn Bhd di Seberang Perak, semalam.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan beberapa projek pembangunan baharu di Pasir Salak termasuk pemindahan pusat giatmara Pasir Salak ke lokasi lebih selesa iaitu di bengkel kejuruteraan kawasan pembangunan pertanian bersepadu (IADA) Ulu Dedap, Seberang Perak.

Beliau berkata, pusat baharu itu akan menawarkan kursus yang lebih relevan dengan keperluan setempat termasuk baik pulih jentera dan mesin pertanian.

Menteri kemajuan desa dan wilayah itu juga mengumumkan pembinaan pusat perniagaan komersial di Changkat Lada melalui peruntukan majlis amanah rakyat (Mara) serta kemudahan padang bola berpagar dengan rumput sintetik sebagai permulaan kepada pembangunan kompleks sukan baharu di kawasan berkenaan.

Selain itu, projek rumah pam di Pulau Besar melalui rancangan tebatan banjir Kampung Gajah Fasa 2 yang kini dalam peringkat reka bentuk akan dimasukkan segera dalam rancangan malaysia ke-13 (RMK-13).

“Kurang tepukan mungkin sebab yang minta Azwan Bro (Khairul Azwan), kalau yang minta Tajuddin mungkin lebih meriah lagi. Tetapi tak mengapa, saya akan pastikan kedua-duanya berdamai untuk menentukan semula kemenangan kawasan parlimen dan juga dewan undangan negeri (dun),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Tajuddin menuntut permohonan maaf daripada Khairul Azwan berhubung dakwaan sabotaj pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) umno itu menegaskan kenyataan berkenaan adalah tuduhan melampau selain bertujuan untuk ‘menghapuskan’ beliau daripada menjadi ahli umno bahagian Pasir Salak.

Khairul Azwan pula dalam kenyataannya sebelum ini mahu MKT umno tidak menerima rayuan penggantungan keahlian Tajuddin kerana mendakwa bekas ketua umno bahagian Pasir Salak itu masih berterusan memburukkan kepimpinan parti. - Media Telus

+ - reset