TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita parah dirempuh pemandu mabuk meninggal dunia selepas tujuh hari bertarung nyawa

By
|
Kongsi
image

TAWAU 17 Ogos – Seorang wanita yang parah selepas dirempuh sebuah trak pikap dipandu lelaki disyaki mabuk, meninggal dunia pagi tadi selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau.

Mangsa, Darna Tajudin, 41, disahkan meninggal dunia pada jam 8.37 pagi akibat kecederaan parah di kepala sehingga mengalami ‘brain death’ susulan insiden pada 10 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam di Batu 9, Jalan Apas, mangsa bersama beberapa rakan dilaporkan sedang berjoging dari Bandar Sri Indah menuju ke T2 Jalan Apas sebelum dirempuh.

Adik mangsa, Yusmi Tajudin, 39, berkata kakaknya meninggalkan lima orang anak berusia antara sembilan hingga 18 tahun.

“Bagaimanapun, kami belum dapat memaklumkan bila jenazah akan dikebumikan kerana masih menunggu prosedur seterusnya memandangkan kes ini dalam siasatan polis,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dalam kenyataan pada 10 Ogos lalu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu pikap Toyota Hilux berusia 57 tahun melanggar belakang sebuah MPV Perodua Alza dipandu lelaki berusia 39 tahun sebelum hilang kawalan.

Akibat pelanggaran itu, kenderaan pikap terbabit terbabas ke bahu kiri jalan lalu merempuh mangsa yang sedang berjoging. Mangsa kemudian mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian. - Media Telus

+ - reset