Berita Berita
UNICEF sedih, bimbang lihat kes buli di sekolah, Malaysia perlu perkukuh sistem perlindungan segera demi keselamatan kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa isu buli di sekolah perlu ditangani segera kerana ia menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.
Wakil UNICEF ke Malaysia merangkap Wakil Khas ke Brunei Darussalam, Robert Gass, menyatakan rasa sedih dan kebimbangan mendalam terhadap laporan insiden terkini yang boleh membawa kesan tragis kepada mangsa.
“Tiada kanak-kanak sepatutnya merasa takut berada di sekolah dan tiada ibu bapa perlu risau anak mereka tidak pulang ke rumah dengan selamat. Sekolah mesti menjadi ruang yang selamat dan menyeronokkan, tempat kanak-kanak belajar, membesar serta membina persahabatan dengan penuh maruah dan hormat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata kanak-kanak sendiri konsisten menyuarakan kebimbangan mengenai buli.
Dalam tinjauan UNICEF pada 2017, isu itu dikenal pasti sebagai antara kebimbangan terbesar mereka, manakala Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 menunjukkan 8.6 peratus kanak-kanak melaporkan menjadi mangsa buli dalam tempoh sebulan lalu.
Menurutnya, panduan UNICEF serta rundingan dengan kanak-kanak menekankan keperluan mewujudkan saluran aduan lebih selamat, dasar sekolah yang lebih kukuh dan guru yang mampu bertindak dengan empati supaya setiap murid dapat belajar tanpa rasa takut.
Insiden yang dilaporkan media baru-baru ini, katanya, membuktikan keperluan mendesak memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak di Malaysia bagi mencegah serta memberi tindak balas berkesan terhadap keganasan, eksploitasi, pengabaian dan penderaan sama ada secara dalam talian atau luar talian.
“Ini termasuk melabur dalam perkhidmatan pekerja sosial profesional serta tenaga kerja perkhidmatan sosial yang lebih luas seperti kaunselor sekolah,” katanya.
Gass memuji usaha kerajaan dan rakan kerjasama menangani keganasan terhadap kanak-kanak, namun menegaskan dasar berpusatkan kanak-kanak yang lebih kukuh, sistem perlindungan lebih baik serta budaya prihatin dalam bilik darjah masih diperlukan.
“Paling utama, semua usaha ini mesti menegakkan hak setiap kanak-kanak untuk mendapat keselamatan, maruah dan pendidikan tanpa rasa takut,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan berpindah daripada sikap menyalahkan kepada penyelesaian, mengingatkan bahawa kanak-kanak yang membuli juga mempunyai hak yang mesti dijaga dan perlu dibimbing melalui proses sewajarnya.
UNICEF menegaskan komitmennya menyokong kerajaan bagi memastikan budaya buli dapat dihapuskan.
“Setiap kanak-kanak berhak untuk selamat, dihargai dan dilindungi di setiap ruang mereka berada. Melindungi hak ini bukan sekadar tanggungjawab di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, tetapi janji yang mesti kita tepati,” tambah Gass.
Berita berkaitan
August 28, 2025, 10:14 pm
Segamat dilanda gempa bumi ke-4 malam ini
August 28, 2025, 9:36 pm
‘Kami mohon tangguh inkues bukan lengahkan keadilan’ - Peguam bela kes Zara Qairina
August 28, 2025, 9:16 pm
PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti Hari Kebangsaan
August 28, 2025, 9:08 pm
RUU Perolehan Kerajaan 2025 hanya mukadimah reformasi – Anwar
August 28, 2025, 9:07 pm
Penantian 7 tahun berakhir, pekerja gig akan diiktiraf di sisi undang-undang - Zahid Hamidi
August 28, 2025, 8:05 pm
Beyond Education Malaysia raih Anugerah Kepimpinan Pendidikan Perubatan 2025
August 28, 2025, 6:36 pm
Felda umum FGV secara rasmi keluar Bursa Malaysia bermula hari ini
August 28, 2025, 6:17 pm
Gangguan elektrik di KLIA2 cemar imej negara - Anthony Loke
August 28, 2025, 5:54 pm