TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gangguan elektrik di KLIA2 cemar imej negara - Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

SEPANG 28 Ogos – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan insiden gangguan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 tidak boleh diterima kerana menjejaskan imej negara di mata dunia.

Kejadian itu berlaku ketika beliau menghadiri majlis pelancaran program “Tap, Travel and Discover” anjuran gateway@klia2 di terminal berkenaan. Menurut Loke, dalam sektor pengangkutan awam, sebarang gangguan teknikal melebihi 15 minit dikategorikan sebagai gangguan besar, apatah lagi apabila ia berlaku di pintu masuk utama negara.

“Seperti biasa, saya hadir 15 minit lebih awal. Saya tiba di KLIA2 pada pukul 2.10 petang. Program sepatutnya bermula ketika itu tetapi tertangguh sehingga 2.35 petang. Saya dapati berlaku gangguan elektrik hampir 20 minit. Apa yang berlaku ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Beliau berkata gangguan itu menyebabkan pelbagai sistem tidak berfungsi, termasuk terminal menjadi gelap dan eskalator terhenti, walaupun papan maklumat masih beroperasi. Situasi tersebut, katanya, memberi imej buruk kepada negara kerana sepatutnya sistem sokongan berfungsi ketika insiden sedemikian.

“Mengapa sistem sokongan tidak aktif? Ini mesti dijawab,” tegasnya.

Sehubungan itu, Loke mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan gateway@klia2 menyediakan laporan penuh dalam tempoh 24 jam mengenai punca kejadian. Beliau juga mahu penyelesaian segera serta jaminan agar insiden sama tidak berulang.

Terdahulu, gangguan elektrik berkenaan turut menjejaskan urusan jual beli di premis perniagaan selain menyebabkan kesesakan di kawasan eskalator. - Media Telus

+ - reset