Berita Berita
'Kritik saya tak mengapa, tapi jangan nafi pengorbanan warga kerja KPM' - Fadhlina

KUALA LUMPUR 5 Sept - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa usaha mereformasikan sistem pendidikan negara tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana anak-anak bukanlah tikus makmal selain dikhuatiri mengganggu dasar dan hala tuju pendidikan yang sedang berjalan.
Beliau berkata, perubahan rencana jika dilakukan secara populis, tergesa-gesa atau membuta tuli hanya akan memberi kesan lebih buruk kepada keseluruhan ekosistem negara.
Kata Fadhlina, walaupun terdapat suara-suara yang mendakwa tiada perubahan ketara selepas lebih dua tahun beliau menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) namun sebenarnya banyak perkara yang telah dan sedang dijalankan pihaknya.
“Kritik saya tidak mengapa, tetapi pengorbanan serta sumbangan besar warga kerja KPM jangan pula dinafikan.
“Pendidikan adalah satu proses yang berterusan. Tidak seperti bidang lain yang mungkin boleh ditimbang untung rugi dengan cepat, menuai hasil dalam pendidikan mengambil masa, mungkin 10 atau 15 tahun atau lebih lama lagi.
“Namun, apa yang utama adalah memastikan kita melakukan perkara yang betul demi masa hadapan generasi akan datang. Banyak yang telah dan sedang dilaksanakan KPM sepanjang 2023 sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Fadhlina menjelaskan, perkara yang diberi tumpuan oleh beliau sewaktu mula-mula menjawat jawatan Menteri Pendidikan adalah menyusun semula gerak kerja di setiap peringkat bagi menangani 'learning loss' dalam kalangan murid pasca pandemik Covid-19.
Tegas Fadhlina lagi, fokus beliau sepanjang lebih dua tahun menerajui KPM adalah untuk memastikan setiap perancangan yang telah dibuat berjalan lancar dan hala tuju yang telah ditetapkan mencapai matlamatnya.
“Mengapa perlu menunggu sehingga 2026 dan 2027 sebelum memuktamadkan pelan pendidikan dan kurikulum baharu? Seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan berserak.
“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan kurikulum persekolahan sedia ada berjalan dalam satu kitaran yang terancang dan berterusan. Kontinum (struktur) ini jika dirombak sesuka hati impaknya besar kepada murid, guru dan seluruh ekosistem pendidikan,” ujar beliau.
Fadhlina berkata, tumpuan untuk menambah baik kelompangan sedia ada dilaksanakan KPM menerusi agenda reformasi pendidikan yang memfokuskan kepada enam teras utama iaitu intervensi kurikulum, peluasan prasekolah dan pemerkasaan pendidikan STEM dan TVET, pendidikan digital serta inisiatif memarbatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris.
Ia turut membabitkan pendidikan digital dan usaha memperkukuh bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Katanya, pada masa sama, kementerian sedang melaksanakan jerayawara bagi mendapatkan maklum balas masyarakat terhadap PPPM 2026-2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027 yang sedang disiapkan.
Sementara itu, Fadhlina menyifatkan kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat yang mewajibkan pendidikan menengah sebagai ‘game changer’ dalam landskap pendidikan negara.
“Usaha memuktamadkan dasar pendidikan menengah wajib bakal memberi impak signifikan kepada dalam menangani keciciran dan memastikan hak setiap anak warganegara Malaysia untuk mendapat peluang pendidikan terbaik,” ujarnya.
Berita berkaitan
September 5, 2025, 11:21 pm
Pendakwah mualaf Kedah terima Anugerah Khas Maulidur Rasul
September 5, 2025, 10:06 pm
Tak beri muka peniaga degil, DBKL sita skuter, mainan halang laluan di Chow Kit
September 5, 2025, 9:51 pm
Warga asing tinggal lebih masa bawah 90 hari akan dikompaun serta-merta
September 5, 2025, 9:26 pm
Malaysia hantar 20,000 al-Quran bahasa khmer ke kemboja
September 5, 2025, 9:19 pm
JAINJ tangkap dua pasangan khalwat di Segamat dan Benut
September 5, 2025, 9:11 pm
Gudang bateri lama di Tanjung Minyak terbakar, 60 peratus musnah
September 5, 2025, 8:56 pm
Remaja Britain hilang sejak Jun lalu ditemui selamat di Kuala Lumpur
September 5, 2025, 8:41 pm