TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga asing tinggal lebih masa bawah 90 hari akan dikompaun serta-merta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Sept - Warga asing yang tinggal lebih masa di Malaysia tidak melebihi 90 hari kini akan dikenakan kompaun serta-merta tanpa perlu melalui proses siasatan dan pendakwaan di mahkamah, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan mempercepatkan proses undang-undang, penghantaran pulang serta mengurangkan kesesakan di depoh tahanan imigresen.

“Bila kita kenakan kompaun maknanya ia tidak berakhir dengan pendakwaan… asalnya kes tinggal lebih masa kena buka kertas siasatan dan mesti pendakwaan. Tapi ada kategori yang kita kenakan kompaun iaitu mereka yang tidak tinggal di negara ini melebihi 90 hari,” katanya seperti dipetik Bernama.

Mengikut kadar baharu itu, warga asing yang tinggal lebih masa 1 hingga 30 hari dikenakan kompaun RM30 sehari (maksimum RM900), manakala 31 hingga 60 hari terus dikenakan RM1,000 dan 61 hingga 90 hari sebanyak RM2,000.

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan mereka yang tinggal melebihi 90 hari akan tetap disiasat serta berdepan pendakwaan.

Beliau berkata, mekanisme baharu itu mempercepatkan proses tindakan undang-undang kepada hanya satu hari berbanding sehingga 14 hari sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 35,225 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen setakat 30 Ogos tahun ini, hasil 9,500 operasi pemeriksaan ke atas 152,000 warga asing di seluruh negara.

Selain itu, 36,557 warga asing telah dihantar pulang ke negara asal setakat 28 Ogos lalu.

Sementara itu, mengulas isu berasingan, Saifuddin berkata polis masih menyiasat kes rakyat Malaysia yang ditahan di Thailand bersama dua laras senjata api jenis M16 serta 450 butir peluru baru-baru ini.

“Berdasarkan siasatan awal, ia tidak terkait dengan elemen sindiket atau kumpulan jenayah terancang,” katanya.

 

+ - reset