TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu Audi mabuk ditahan rempuh 2 motosikal polis, seorang cedera di JB

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 7 Sept – Seorang pemandu Audi A6 diberkas selepas merempuh dua motosikal milik Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika melalui Kilometer 8, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, dua anggota polis masing-masing berusia 29 dan 36 tahun sedang mengawal lalu lintas di lokasi kemalangan sebelum dirempuh kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, salah seorang anggota cedera pada kaki kiri dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan, manakala seorang lagi terselamat.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah Skudai itu hilang kawalan lalu melanggar dua motosikal jenis Kawasaki EX250 milik URB yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ujian pernafasan mendapati pemandu terbabit positif alkohol, namun ujian awal air kencingnya negatif dadah.

“Suspek direman dua hari sehingga esok selepas mendapat kebenaran Mahkamah Johor Bahru. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah,” katanya.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 selain penggantungan lesen memandu selama 10 tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Azlina Abdul Raof di talian 019-7432966. 

+ - reset