TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPDN mula terima aduan harga barang Mykasih, SARA naik

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Sept – Dua aduan berkaitan kenaikan harga barangan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan MyKasih berjaya diselesaikan selepas siasatan mendapati ia berpunca daripada kesilapan teknikal sistem kod barangan oleh peruncit.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar berkata, masalah berkenaan telah diperbetulkan dan pemantauan kini dipertingkatkan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

“Kita telah mengarahkan semua pegawai penguat kuasa negeri memberi tumpuan kepada kedai yang terlibat dengan program ini supaya tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga secara berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Zon Sarawak di Kuching Waterfront, hari ini.

Menurut Mohd Sayuthi, tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan secara tidak wajar.

Sementara itu, beliau memaklumkan program jelajah serta KBBM mencatatkan nilai jualan keseluruhan melebihi RM500,000 setakat ini, termasuk Jualan Rahmah berjumlah RM180,000 semalam.

“Setakat petang tadi, program ini telah menarik kehadiran kira-kira 35,000 pengunjung. Malah, dua kereta turut terjual pada hari pertama melalui rakan strategik yang terlibat,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak menetapkan sasaran jualan sebaliknya tujuan utama penganjuran adalah memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan pada harga berpatutan di samping memperkenalkan inisiatif kerajaan.

+ - reset