Berita Berita
Audit dalaman yang telus penting bendung rasuah, ketirisan - Anwar

KUALA LUMPUR 9 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan audit dan audit dalaman merupakan elemen penting dalam pentadbiran negara sekiranya kerajaan benar-benar serius mahu mengekang ketirisan, rasuah serta kelemahan tadbir urus.
Menurutnya, tanpa kawalan telus serta sistem semak dan imbang yang kukuh, kekuatan ekonomi semata-mata tidak mampu menyelesaikan masalah besar yang dihadapi negara.
“Seperti mana Datuk Seri Suraya (Ketua Audit Negara) tahu, saya berikan ruang seluas mungkin supaya jentera kerajaan diawasi dan dipantau lebih dekat dan ini harus mendapat kerjasama sepenuhnya dengan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Konfederasi Juruaudit Dalaman Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi tadi.
Turut hadir ialah Ketua Audit Negara, Datuk Seri Suraya Wan Mohd Radzi.
Anwar turut mengingatkan bahawa pengalaman negara berdepan skandal kewangan, termasuk 1MDB, membuktikan kelemahan pengawasan dan penglibatan pihak juruaudit serta institusi kewangan antarabangsa boleh membawa kesan besar.
“Seperti yang kita alami dalam banyak skandal kewangan sebelum ini termasuk skandal 1MDB, ia tidak mungkin berlaku tanpa penglibatan juruaudit, juruaudit dalaman dan institusi kewangan antarabangsa.
“Kita mesti mengambilnya sebagai cabaran untuk menyelamatkan masyarakat serta negara daripada penyelewengan ini. Maka kita harus memahami maksud sebenar sistem semak dan imbang; keperluan untuk bertindak dengan penuh ketelusan, akauntabiliti dan amanah. Inilah asas yang membolehkan institusi bertahan, khususnya apabila diuji,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak yang berani dan tegas membersihkan kerajaan serta syarikat daripada amalan menyalahi peraturan.
“Saya ucap terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan kerana mereka tunjukkan sikap dan keberanian dan ketegasan membersihkan jentera sama ada kerajaan atau syarikat-syarikat kerajaan dan swasta daripada kebiasaan melanggar peraturan ini,” katanya.
Menyentuh usaha pembaharuan institusi, Anwar menjelaskan pengukuhan Jabatan Audit Negara adalah langkah kritikal walaupun tidak popular.
Katanya, pindaan pertama Akta Audit selepas 33 tahun telah dilaksanakan bagi memperkukuh mandat jabatan itu supaya dana awam dilindungi serta pesalah dibawa ke muka pengadilan.
“Melalui pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh 33 tahun, ia mungkin bukan reformasi yang glamor, tetapi ia adalah pembaharuan penting.
“Sejak 2024, audit susulan berjaya memulihkan serta melindungi dana berjumlah RM159 juta,” katanya.
Beliau menambah, empat garis panduan audit baharu juga telah diperkenalkan pada awal tahun ini bagi mewajibkan semua penerima dana awam mematuhi prinsip pengurusan wang rakyat.
“Syarikat berkaitan kerajaan, yayasan, apa sahaja sebaik menerima dana awam, mereka mesti mematuhi prinsip pengurusan wang rakyat. Langkah ini akan membantu membendung ketirisan dan rasuah,” ujarnya.
Berita berkaitan
September 9, 2025, 8:25 pm
Juara dunia dapat ‘durian runtuh’ RM125,000 dari Sen Heng
September 9, 2025, 7:01 pm
IUC buka laluan kerjaya global mahasiswa di Jepun
September 9, 2025, 6:38 pm
Kes saman fitnah Tuan Ibrahim terhadap Rafizi selesai secara baik
September 9, 2025, 5:30 pm
Bapa sujud syukur, 8 anak akhirnya dapat sijil lahir, boleh bersekolah
September 9, 2025, 5:03 pm
Kes buli pelajar di Kedah meningkat 200 peratus
September 9, 2025, 4:44 pm
Inkues Zara Qairina: Doktor sahkan kecederaan di kepala arwah akibat hentakan objek tumpul
September 9, 2025, 3:24 pm
Keputusan representasi CEO GISBH dan 21 pemimpin tertinggi ditetapkan 30 Oktober
September 9, 2025, 2:51 pm
MCMC teruskan siasatan isu dakwaan Muhyiddin berkaitan subsidi RON95
September 9, 2025, 2:49 pm
RM170 juta dikaitkan dengan Ismail Sabri kini sah jadi milik kerajaan – Azam Baki
September 9, 2025, 2:41 pm