TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penganggur didakwa pandu berbahaya, rempuh anak polis hingga maut di Seremban

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 9 Sept – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian seorang remaja lelaki bulan lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, tertuduh, R. Puvarasan, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Mercedes Benz dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Che Wan Muhammad Aqif Mustaqim Che Faizal, 18, kira-kira jam 6.35 pagi pada 6 Ogos 2025 di Jalan Temiang, Seremban.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, P. Rubini, menawarkan jaminan sebanyak RM20,000, namun peguam bela tertuduh, P. S. Tamil Arsoo, memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan ibunya seorang ibu tunggal.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan sebutan semula kes pada 6 November depan.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa yang merupakan anak seorang anggota polis maut dalam kemalangan ketika menunggang motosikal untuk ke tempat kerja di sebuah stesen minyak.

Siasatan mendapati suspek mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau dan dipercayai cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum hilang kawalan kenderaan lalu merempuh mangsa.

+ - reset