TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kakitangan PETRONAS terima SMS ugutan, polis siasat fasiliti LNG diancam - Fadillah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Sept – Kakitangan PETRONAS dilaporkan menerima pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang mendakwa mahu menyerang fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata siasatan polis sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu di sebalik mesej berkenaan.

"Saya dimaklumkan bahawa ada warga kerja PETRONAS dari ibu pejabat yang menerima SMS ugutan itu. Ia menggunakan nombor telefon dari Indonesia.

"Tapi siapa (penghantar mesej terbabit), polis masih siasat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan serta Sidang Kemuncak Wanita, Keamanan dan Keselamatan ASEAN 2025, di sini, hari ini.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu memperketat kawalan keselamatan susulan ancaman yang tidak diperincikan.

Menurut MKN, langkah itu diambil bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menjelaskan individu terbabit pada mulanya meminta maklum balas berhubung 'sesuatu' tetapi apabila tidak diendahkan, ugutan dibuat.

"Dia minta jawab sesuatu tapi sebab tidak ada respons, dia ugut untuk bakar LNG kita, tapi tidak tahu LNG yang mana satu (disasarkan). Kita juga tidak tahu sama ada (ugutan) itu membabitkan LNG Bintulu atau Sabah, sebab ia hanya menyatakan dalam konteks LNG," katanya.

Beliau menambah, langkah berjaga-jaga sudah dipertingkat, malah MKN mengarahkan kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG di Sabah dan Sarawak.

Untuk rekod, Bintulu adalah lokasi strategik yang menempatkan kemudahan LNG terbesar negara dan menjadi hab utama eksport tenaga Malaysia.

Dalam kenyataan berasingan, PETRONAS memaklumkan operasi LNG syarikat itu tidak terjejas dan tiada gangguan bekalan di kemudahan Bintulu. Syarikat itu menegaskan memandang serius ugutan berkenaan dan kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi menilai serta menangani keadaan tersebut.

 

+ - reset