Berita Berita
Zara Qairina dipercayai kali terakhir dilihat di tandas asrama tingkat 3 - Saksi

KOTA KINABALU 10 Sept - Mahkamah Koroner di sini, hari ini diberitahu Allahyarham Zara Qairina Mahathir dipercayai kali terakhir dilihat di tandas tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan berkenaan pada awal pagi 16 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus yang menyambung keterangan mengenai simulasi kejadian.
Beliau mendedahkan perkara itu ketika ditanya peguam ibu arwah, Shahlan Jufri, sebab ujian simulasi menggunakan jatuhan patung dibuat di tingkat tiga bangunan asrama berkenaan.
Katanya, maklumat itu berdasarkan siasatan yang dibuat oleh pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Wong Yew Zhung.
Maidon turut menerangkan kenapa simulasi atau pembinaan semula insiden kejadian itu dibuat pada jam 3 pagi, iaitu waktu yang sama insiden membabitkan arwah Zara berlaku pada 16 Julai lalu.
Shahlan: Simulasi dibuat pada jam 3 pagi dengan lampu tambahan, bagaimana keadaan itu berbeza dengan keadaan sebenar insiden?
Maidon: Mungkin semasa insiden keadaan pencahayaan kurang terang.
Shahlan: Mengapa kamu membuat simulasi tersebut di tingkat tiga?
Maidon: Saya membuat simulasi tersebut di tingkat tiga setelah mendapat taklimat daripada pegawai penyiasat kes.
Shahlan: Siapakah pegawai penyiasat kes yang berikan taklimat tersebut?
Maidon: Inspektor Wong.
Shahlan: Adakah Inspektor Wong ini menjelaskan kepada kamu mengapa simulasi tersebut dibuat di tingkat tiga?
Maidon: Ada.
Shahlan: Apakah yang dijelaskan kepada kamu oleh Inspektor Wong, mengapa simulasi tersebut dibuat di tingkat tiga?
Maidon: Kerana melalui siasatan Inspektor Wong, iaitu siasatan awal Inspektor Wong, menurut saksi di kedudukan tersebut dalam tandas tersebut, kedudukan terakhir mangsa dipercayai berada dalam tandas tersebut yang berhadapan dengan koridor.
Ketika prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan itu, Maidon turut ditanya sama ada simulasi yang dilakukan beliau bersama pasukannya disemak pakar bebas atau biomekanik.
Beliau bagaimanapun menidakkan perkara itu kerana tidak menerima arahan dari pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Maidon juga mengakui beliau bukan pakar dalam bidang membina semula kejadian.
Shahlan: Adakah hasil proses bina semula atau reconstruction ini pernah disemak oleh pakar bebas atau biomekanik?
Maidon: Tidak.
Shahlan: Mengapa tidak?
Maidon: Apabila saya membuat (bina semula) saya akan menyediakan satu laporan siasatan di tempat kejadian sahaja.
Shahlan: Adalah lebih tepat sekiranya proses bina semula ini atau rekonstruksi ini disemak oleh pakar bebas atau pakar biomekanik, apa pendirian kamu?
Maidon: Sekiranya PDRM membuat reconstruct di tempat kejadian untuk mendapatkan pakar bebas atau biomekanik, kita harus mendapatkan arahan daripada pegawai atasan.
Shahlan: Berdasarkan pendapat kamu sebelum proses simulasi, adakah bina semula ini atau rekonstruksi, perlu disemak pakar bebas atau biomekanik?
Maidon: Mungkin perlu dan mungkin juga tidak tapi bergantung kepada pegawai atasan yang saya rujuk.
Shahlan: Kamu dan pasukan kamu yang melakukan proses bina semula atau rekonstruksi tidak mempunyai pengetahuan mengenai biomekanik atau dalam erti kata lain bukan pakar?
Maidon: Betul.
Shahlan: Selain membuat proses bina semula di tempat kejadian apa lagi kamu dan pasukan kamu buat di lokasi kejadian?
Maidon: Kita membuat ukuran jatuhan patung dengan dinding paling dekat dengan jatuhan patung di tingkat bawah.
Shahlan: Untuk siasatan ini, boleh beritahu mahkamah sama ada pasukan kamu menimbulkan cap jari, mengesan tapak kaki, darah atau tompokan darah di lokasi?
Maidon: Untuk makluman siasatan yang saya lakukan adalah siasatan susulan. Jadi penugasan seperti di atas saya tidak lakukan kerana ada dua siasatan tempat kejadian sebelum ini telah dilakukan oleh Inspektor Alif dari forensik IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Sabah.
Berita berkaitan
September 10, 2025, 9:57 pm
'Si mati dipercayai sudah meninggal dunia seminggu lalu' - Polis cari waris mayat wanita mereput ditemui di KLIA
September 10, 2025, 9:18 pm
Calon SPM maut dalam nahas 4 kenderaan di Kulai
September 10, 2025, 8:13 pm
Zambry ingatkan jangan politikkan isu pelajar cemerlang
September 10, 2025, 8:09 pm
Harga RON97 dan diesel naik 2 sen, RON95 kekal
September 10, 2025, 8:05 pm
27 individu termasuk 18 pegawai penguat kuasa direman kes sindiket ‘counter setting’
September 10, 2025, 8:02 pm
SPR nafi poster tarikh PRN Sabah, sahkan maklumat palsu
September 10, 2025, 7:59 pm
Fahmi sahkan laman web Caghi.com disekat sejak 2022
September 10, 2025, 6:09 pm
Anwar arah semua lawatan rasmi menteri ke luar negara dihentikan sementara serta-merta
September 10, 2025, 5:34 pm