TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

27 individu termasuk 18 pegawai penguat kuasa direman kes sindiket ‘counter setting’

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 27 individu, termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa, kerana disyaki terbabit dengan sindiket ‘counter setting’ bagi membolehkan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Majistret di Shah Alam, Melaka, Seremban dan Kuala Lumpur membenarkan tempoh reman antara tiga hingga tujuh hari terhadap kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

Menurut sumber, kesemua mereka ditahan dalam operasi khas di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pada Selasa.

“Suspek dipercayai memberi dan menerima wang rasuah sebagai balasan bagi memudahkan kemasukan warga asing tanpa melalui prosedur sah,” kata kenyataan SPRM.

Dalam operasi itu, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000, barangan kemas, kepingan emas, kenderaan, beg tangan mewah, jam tangan serta peranti telekomunikasi.

Selain itu, 40 akaun bank melibatkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat dengan nilai lebih RM1 juta turut dibekukan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan itu dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.  - Media Telus

+ - reset