TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Calon SPM maut dalam nahas 4 kenderaan di Kulai

By
|
Kongsi
image

 

KULAI 10 Sept - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 6, Jalan Kulai-Kota Tinggi, di sini pagi tadi.

Mangsa, Muhamad Ariq Azlan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahmad Putra, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah motosikal Yamaha 135LC ditunggang lelaki berusia 54 tahun.

“Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua motosikal terbabas dan bergesel dengan sebuah kereta Perodua Axia dipandu wanita berusia 20 tahun. Kedua-dua motosikal kemudian terbabas ke lorong bertentangan dan dirempuh sebuah lori Hicom yang dipandu lelaki berusia 59 tahun yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penunggang motosikal Yamaha 135LC cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Kulai untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan.

 

+ - reset