Berita Berita
Hakim tolak permohonan Najib mohon tarik diri dalam semakan kehakiman titah adendum

KUALA LUMPUR 11 Sept – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak supaya Hakim Alice Loke Yee Ching menarik diri daripada mendengar semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Hakim Alice ketika membuat keputusan menegaskan tiada asas untuk mendakwa beliau berat sebelah, meskipun sebelum ini pernah menolak permohonan kebenaran Najib bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
“Pada peringkat itu, mahkamah berpendapat kewajipan untuk mendedahkan semua fakta material tidak terpakai. Oleh itu, dakwaan kononnya penemuan saya sebelum ini boleh menimbulkan persepsi berat sebelah tidak timbul,” katanya.
Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa hakim terbabit seharusnya mempertimbangkan untuk menarik diri kerana dalam keputusan lalu beliau menyentuh isu “duty of candour” (kewajipan telus), yang menurut pihak pembelaan adalah asas penting dalam semakan kehakiman.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili responden membantah permohonan itu dengan menegaskan ia sepatutnya dibuat melalui saluran rasmi.
Mahkamah menetapkan 19 September ini untuk keputusan permohonan Najib meminda pernyataan semakan kehakimannya dengan memasukkan bukti tambahan berupa sepucuk surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum berkenaan. Surat bertarikh 4 Januari itu ditandatangani Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan dialamatkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos lalu sebelum ini memutuskan semakan kehakiman Najib perlu didengar di Mahkamah Tinggi selepas rayuan Peguam Negara untuk mengetepikannya ditolak.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib menamakan tujuh pihak termasuk Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas perdana menteri itu menuntut perintah mandamus supaya kerajaan mengesahkan serta melaksanakan Titah Adendum yang didakwa membolehkannya menjalani baki hukuman penjara SRC International berjumlah RM42 juta di kediamannya di Kuala Lumpur. - Media Telus
Berita berkaitan
September 11, 2025, 11:16 pm
'Saya tak tahu, tolong beritahu jika ada, saya nak 'claim' - Tun M sindir SPRM sedang siasat harta di UK
September 11, 2025, 10:43 pm
Kes Ebit Liew: Saksi makan masa 7 hari analisa 30,000 gambar dalam 'pendrive'
September 11, 2025, 9:57 pm
Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya lakar sejarah, lebar sayap ke London, Brunei perkasa usahawan tempatan
September 11, 2025, 9:00 pm
Inkues Zara Qairina: Pakar Patologi sahkan tiada VVIP atau pihak ketiga pengaruhi keterangannya
September 11, 2025, 7:52 pm
'Penumpang kereta bakal diwajibkan pakai tali pinggang keledar atau bayar saman RM300' - JPJ
September 11, 2025, 4:02 pm
Tiada pendaftaran diperlukan untuk tebus SARA RM100 – Teo Nie Ching
September 11, 2025, 3:54 pm
143 anggota bomba Johor obes ikuti program khas turunkan BMI
September 11, 2025, 3:29 pm